Monday, June 20, 2016

KEPUTUSAN PRK KUALA KANGSAR DAN SUNGEI BESAR MEMBERI ISYARAT PARTI PEMBANGKANG AKAN GULUNG TIKAR DALAM PRU14.

Menurut analisa statistik keputusan PRK kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungei Bear yang berlangsung pada 18.6.2016, sokongan  pengundi Melayu kelihatan di bahagi dua  secara sama rata iaitu 50-50 (watershed) iaitu antara BN dan parti lawanya (PAS dan Amanah). Di Kuala Kangsar, BN menerima 12,653 undi dan parti  pembangkang menerima  10,567 undi , jumlah  undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon pembangkang. Ini bermakna, BN  mendapat 2,086  undi lebih daripada jumlah undi yang diperolehi oleh parti  pembangkang. BN menang dengan majoriti 1,082  dalam PRU 13 dan kini menang dengan majoriti 6,969 undi. Walaupun calon BN di Kuala Kangsar dilaporkan menang dengan majoriti 6,969 undi, penelitian secara  terperinci  menunjukkan   BN hanya meningkatkan 1,004 undi lebih  kali ini berbanding dengan sokongan yang diterima pada PRU13. Undi populariti BN meningkat 3.6 % di Kuala Kangsar. 
Manakala, di Sungei Besar pula, BN menerima  16,800 undi   berbanding dengan jumlah undi 14,511 undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon parti pembangkang. Walaupun BN menang dengan  majoriti 9,191 undi,  BN  hanya memperolehi  2,289 undi lebih daripada calon pembangkang. BN menang dengan majoriti ialitu 399 undi pada PRU13, tetapi dalam PRK kali kali  ini  memperolehi 2,289 undi  lebih daripada parti pembangkang.Ini bermakna,  BN dapat meningkatkan sokongan sebanyak 1,890 undi dalam PRK ini berbanding dengan sokongan yang diperolehi dalam PRU13. Undi polulariti BN meningkat  3.4 % di Sungei Besar. 
Trend yang menarik dalam PRK ini adalah kecenderungan politik pengundi Cina yang mengalih menyokong BN. Adalah dianggarkan hampir 35 peratus pengundi Cina mengalih sokongan mereka kepada BN. Manakala hampir 65 peratus pengundi India menyokong BN. Kadar ini  jauh lebih baik berbanding dengan PRU13. Persoalanya, apakah faktor-faktor menolak dan menarik yang menyebabkan peralihan sokongan pengundi Cina dan India kepada BN?   
Pada hemat saya, selain daripada faktor  sifat mesra rakyat calon BN yang menarik hati pengundi Cina  dan India, faktor yang utama  yang mendorong pengundi bukan Melayu  menyokong BN adalah faktor pengundi Cina dan India, yang sebahagian besar masih tinggal di luar bandar,  mengharapkan kerajaan BN membantu mereka mengatasi permasalahan  yang dihadapi oleh mereka diperingkat   lokal. Mereka dikesan kurang tertarik dengan  retorik atau  isu-isu nasional  yang dijaguhkan oleh parti pembangkang. Selain itu, pendekatan inklusif yang diambil oleh jentera BN dalam usaha merayu undi telah memenangi minda dan hati pengundi bukan Melayu. 
Gelombang  pengundi Cina mengalih sokongan mereka kepada BN, yang meniub di Sarawak dalam PRN11, telah tiba di Semenanjung malah memberi kesan kepada pemikiran politik pengundi Cina di Semenanjung. Pengundi Cina dikesan sudah mula menolak parti pembangkang kerana kecewa dengan kepimpinan parti-parti pembangkang yang gagal ‘deliver’ ataupun  tidak menepati janji-janji mereka kepada rakyat. Manakala, dikalangan pengundi India pula, kepimpinan DS Dr.Subramaniam ,  didapat mendapat sokongan hebat daripada kaum  India secara amnya dan pengundi India secara  khususnya. 

Kesimpulannya, sekiranya momentum sokongan bukann Melayu kepada BN  dikekalkan, parti pembangkang yang menyertai Pakatan Harapan akan gulung tikar dalam PRK14!

Thursday, June 2, 2016

PENGUNDI BUKAN MELAYU JADI PENENTU DALAM PRK P.67 KUALA KANGSAR & P.93 SUNGEI BESAR


Ramai penganalisis politik dan malah media sosial  yang dipengaruhi oleh parti-parti pembangkang menganggap Pilihan  raya kecil bagi kerusi   Parlimen P.67 Kuala  Kangsar, Perak dan P.93 Sungei Besar,Selangor yang akan diadakan secara serentak pada 18 Jun 2016 sebagai satu pertandingan  sengit malah ujian ‘litmus’ untuk  mengukur  tahap penerimaan rakyat terhadap BN kepimpinan  Dato Seri Mohd.Najib Tun Razak.   PRK ini  juga  dijangka akan memberi isyarat sama ada  dakwaan dan  andaian bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad bersama bekas Timbalan Perdana menteri , Muhyiddin Yassin,  kononya  BN semakin hilang sokongan  rakyat.
Berasaskan kepada keputusan pilihan raya umum ke 12 dan 13, tidak dapat dinafikan bahawa PRK kali ini  adalah satu  pertandingan yang  sengit antara BN  dan parti lawanya. Mengikut catatan rekod,calon BN bagi Parlimen P.67 Kuala Kangsar menang dengan majoriti 1,458 apabila  memperolehi 10,735 undi pada PRU12 dan menang  dengan majoriti 1,082 apabila  menerima 14,218 undi  pada PRU13. Bagi kawasan P.93  Sungei Besar pula, calon BN  menang bergaya dengan majoriti 5,000 apabila  menerima 16,068 undi dalam PRU12 tetapi menang  dengan majoriti  tipis  399 undi  apabila memperolehi  18,695 undi dalam PRU13. Keputusan PRU12 dan  13  bagi dua kawasan berkenaan  jelas menunjukkan  majoriti bagi BN merosot  25.79 peratus di parlimen Kuala Kangsar dan 92 peratus di parlimen  Sungei Besar. Berhubung dengan sokongan pengundi pula, sokongan terhadap BN meningkat 16 peratus  berbanding dengan 65 peratus bagi PAS  di  Parlimen Sungei  Besar. Di Parlimen  Kuala  Kangsar pula, sokongan kepada BN meningkat 32 peratus berbanding dengan 42 peratus kepada untuk PAS. Walaupun sokongan terhadap BN dan PAS meningkat di kedua –dua kawasan  palimen tersebut,  sokongan  terhadap calon  PAS didapati meningkat secara mendadak dalam PRU13 kerana kesan kerjasama politik yang dipersetujui antara DAP dan PAS (tahaluf siyasi).Sebahagian besar pengundi Cina yang menolak PAS sebelum itu  mengundi calon PAS kerana semangat  kerjasama dalam Pakatan Pembangkang.
Pada masa yang sama, calon DAP   dalam    N.4  Sekinchan, yang terletak  dalam  parlimen Sg.Besar,  menang  dengan  jumlah  majoriti  berlibat kali ganda  iaitu  daripada 190 undi (PRU12)  kepada 2,239  undi pada PRU13. Keputusan tersebut jelas menunjukkan bahawa walaupun majoriti kedua-dua kawasan parlimen berkenaan  terdiri daripada majoriti pengundi Melayu  iaitu lebih 65 peratus,  pengundi  bukan  Melayu khususnya pengundi Cina akan main peranan penting dalam menentukan keputusan  menang-kalah calon BN atau Pembangkang dalam edisi PRK kali ini.

Pada masa sama, mengambil  kira perkembangan terbaru dalam  landskap politik Negara di mana   parti-parti pembangkang  masih  bertelingkah sesama mereka untuk bertanding merebut kerusi,   kerjasama   politik dan  hubungan  antara PKR,DAP dan  PAS  disifatkan semakin rapuh, maka  calon  BN diyakini ada  peluang  cerah  untuk mempertahan kedua-dua kerusi dalam  PRK  ini. Ini ditambah analisis pola pengundian  di PRK Telok Intan menunjukkan  sokongan  pengundi India membantu kemenangan  BN kerana selepas menyokong DAP meraka  mengalih menyokong   BN. Dalam hubungan ini, memandangkan BN hanya menang dengan majoriti  399 di  Sg.Besar dan  1082 di  Kuala Kangsar dalam PRU13, pengundi India yang yang  meliputi   2 peratus ( 820 orang) di Sungei Besar dan 7 peratus (2,299 orang )di  Kuala  Kangsar juga faktor dalam membantu   kemenangan calon BN untuk  PRK kali ini.