Thursday, December 24, 2009

YAB Mohd.Najib Tun Razak Menyeru Rakyat Malaysia Menyuburkan Roh Maal Hijrah

Ketika berucap sempena sambutan Maal Hijrah 1431 di Putrajaya pada 11 Disember lalu, Perdana Menteri, YAB Dato` Sri Mohd. Najib Tun Razak, menyeru umat Islam di negara ini menghayati semangat Hijrah dengan mengukuhkan ukhwah di kalangan mereka.

Menurut Najib, semangat atau roh Hijrah adalah selaras dengan Gagasan 1Malaysia kerana ianya mementingkan semangat tabah hati dan perpaduan di kalangan umat manusia.

Perdana Menteri menyeru pemimpin politik dan kerajaan, malah anggota masyarakat menterjemahkan semangat Hijrah dalam melestarikan Gagasan 1Malaysia supaya hubungan dan perpaduan antara masyarakat Islam dan bukan Islam bertambah erat seperti hubungan yang terjalin dalam zaman pentadbiran Kerajaan Islam di Madinah .

Peristiwa Hijrah adalah dianggap sebagai batu asas dalam membentuk dan membina sebuah negara Islam yang masyarakatnya terdiri daripada penduduk yang mengamal agama dan budaya berbeza di Madinah ketika itu. Walaupun bersifat majmuk, namun masyarakatnya sudah pun mengamalkan pelbagai nilai sejagat yang wajar dijadikan contoh ikutan.

Banyak nilai-nilai sejagat yang terkandung dalam peristiwa Hijrah itu berjaya kita laksanakan dalam membina masyarakat yang bersatu padu. Ini termasuk dalam menjayakan gagasan 1Malaysia. Nilai-nilai murni sejagat yang dimajukan dalam Gagasan 1Malaysia adalah berkisar sekitar prinsip keadilan sosial, penerimaan dan pengakuan kewujudan perbezaan antara kaum dalam membina sebuah negara-bangsa yang bersatu padu.

Gagasan 1Malaysia menyeru rakyat lebih mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan indidividu atau sesuatu kaum tertentu supaya keseluruhan rakyat dan negara dapat menikmati kemajuan, kejayaan dan kesejahteraan hidup tanpa perasaan mereka tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara.

Justeru, sempena menyambut hari Maal Hijrah 1431, Najib menyeru rakyat melangkah ke hadapan mempererat dan memperkukuh hubungan antara kaum tanpa mengira perbezaan fahaman politik demi kepentingan negara.

Sesungguhnya, kejayaan dan kemewahan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa sekarang bukanlah datang dengan mudah, sebaliknya adalah hasil pengkorbanan dan kebijaksanaan pemimpin dan rakyat sebelumnya. Pendek kata, kemajuan dan kejayaan Malaysia yang kita saksikan pada hari ini adalah selari dengan semangat Hijrah yang tinggi , kesetiaan, tabah hati dan keazaman tinggi rakyat berbilang kaum sejak merdeka.

Kerajaan yang memerintah sejak merdeka 52 tahun lalu telah merancang dan melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk mengubah negara ini daripada negara pertanian kepada negara industri berteraskan pertanian dalam bidang ekonomi.

Dengan pengalaman dan kejayaan tersebut, kita negara kita mula melangkah ke arah model ekonomi baru yang lebih fokus dan mementingkan kepada inovasi, daya cipta dan tambah-nilai supaya negara berubah daripada masyarakat yang berpendapatan pertengahan kepada masyarakat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dan seterusnya.

Kerajaan telah meningkatkan usaha untuk mengubah minda rakyat Malaysia supaya menghadapi cabaran-cabaran ekonomi kesan globalisai supaya Malaysia dapat mengekalkan kejayaan yang diperolehi malah mempertahankan relevansinya dalam dunia yang penuh mencabar dan kompetetif.

Rakyat harus sedar bahawa Malaysia telah mencipta kejayaan demi kejayaan dalam bidang ekonomi dan sosial sejak merdeka berbanding dengan lain-lain negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, agama dan budaya.

Dunia masih menganggap Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terunggul, malah dilihat sebagai sebuah negara yang maju, dinamik dan progresif dalam dunia.

Formula yang mendatangkan kejayaan Malaysia adalah perpaduan, kepercayaan dan saling hormat-menghormati, sikap kesederhanaan dan menerima perbezaan sebagai realiti hidup yang menjadi aset kejayaan keseluruhan rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, rakyat diseru terus menyuburkan semangat perpaduan dan persaudaraan antara kaum tanpa mengira perbezaan warna kulit, pangkat, keturunan dan agama seperti yang pernah diasaskan oleh masyarakat Madinah.

Perlembagaan Madinah yang terhasil dari peristiwa Maal Hijrah merupakan sebuah dokumen perlembagaan terulung dalam tamadun Islam, malah manusia, yang mengariskan tatasusila tingakah laku bernegara penduduk Bandar Madinah.

Ia telah membuktikan bahawa sebuah negara bangsa yang terdiri daripada penduduk berbilang keturunan, kepercayaan dan agama boleh hidup aman, damai, harmoni serta makmur. Demikianlah kita, melalui Perlembagaan Persekutuan yang dilahirkan pada tahun 1957 mempunyai banyak ciri-ciri persamaan dengan semangat Perlembagaan Madinah yang diasaskan oleh nabi Muhammad s.a.w..

Usaha kerajaan memperkenalkan Gagasan 1Malaysia boleh dianggap sebagai satu kesinambungan usaha menterjemahkan roh Maal Hijrah supaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum,agama dan budaya dapat hidup aman, damai dan makmur sebagai satu keluarga besar dalam sebuah negara yang berdaulat.

Rakyat Malaysia harus mengambil iktibar dari pengalaman sejarah dan peristiwa Hijrah supaya hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia dapat dipereratkan ke tahap yang lebih tinggi untuk menjamin kesejahteraan dan keadilan sosial untuk semua kaum.




No comments: