Sunday, November 2, 2014

MALAYSIA MENOLAK FAHAMAN PELAMPAU AGAMA

Islamic State atau IS kini menjadi bagan laporan media antara bangsa malah perbincangan rakyat seluruh dunia termasuk Malaysia. Malaysia  selaku negara perintis ‘Gerakan Kesederhanaan Global (GMM)’ yang berpaksikan kepada pendekatan kesederhanaan atau wasatiyyah, mengutuk  sekeras-kerasnya sebarang bentuk fahaman pelampau agama  termasuk kumpulan Negara Islam (IS).Malaysia melihat IS sebagai sebuah pertubuhan pengganas  kerana aktiviti  IS didapti tidak mencerminkan kemurniaan Islam yang sebenar. 

Sehubungan ini, Malaysia selaku ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyokong penuh  Resolusi  2170 PBB   yang menentang  sebarang bentuk sokongan dan bantuan kepada  IS. Malaysia merupakan sebuah negara yang tidak pernah membelakangkan kepentingan Islam atau membantu umat Islam yang menetap diseluruh dunia yang memerlukan bantuan dan sokongan. Malaysia pernah membantu perjuangan umat Islam di Filipina dan Thailand malah umat Islam di Palestin yang selalu menderita akibat serangan kejam yang tidak perikemanusiaan.

Baru-baru ini pihak Polis Shah Alam, Selangor, menanggap   14 orang   disyaki   terlibat dengan gerakan militant dan  dipercayai  sedang merancang  bertolak ke Syria  untuk menyertai  IS.  Sebelum ini, media pernah melaporkan  lima orang warga Malaysia terkorban dalam pertempuran  ketika menyertai  IS di Syria. 

Tanggapan ini sungguh membimbangkan rakyat Malaysia sama ada umat Islam atau bukan Islam kerana sebahagian besar warga Malaysia yang menyertai IS adalah terdiri daripada pelajar-pelajar institusi tinggi, golongan  professional termasuk doktor perubatan, Jurutera, Pegawai Kerajaan  yang berada dalam lingkungan umur 14-48 tahun. Malah apa yang lebih  membimbangkan kita ialah Jemaah Islamiyah  dan kumpulan Abu Sayyaf serta  Kumpulan Mujahideen Malaysia (KMM) yang  diharamkan di Malaysia juga dikesan menyokong gerakan IS.

Secara umumnya  IS adalah dirujuk kepada Islamic State (al-Dawlah al-Islamiyah) atau  Negara Islam  yang diisytiharkan oleh IS  sebagai sebuah kerajaan Islam (Khalifah)  di Syria dan Iraq, Timur Tengah dan diurus berasaskan syariah Islam. Walaupun  pada dewasa ini, IS beroperasi di Iraq dan Syria, IS telah berjanji akan memperluaskan jajahannya ke negara-negara dimana terdapat bilangan besar umat Islam.

IS mendakwa  umat Islam termasuk pemerintah –pemerintah negara  Islam kini telah banyak menyimpang daripada  menepati  syariah Islam. Malah mendakwa kuasa politik Islam merosot  selepas  terjatuhnya Empayar Ottoman kepada Pasukan Tentera Bersekutu (British) pada tahun 1920.  Oleh yang demikian, IS  berpendapat wajar IS  gunakan kekerasan  dan keganasan untuk memulihkan kuasa politik Islam seperti dahulu kala dalam pentas dunia.

Menurut  para ulama  sedunia,  golongan muda  kini tertarik  untuk menyertai  IS  kononnya  berperang jihad untuk menegakkan  Negara Islam yang berteraskan syariat Islam. Namun, kumpulan IS yang menggelar diri sebagai pejuang Islam dilaporakan memenggal kepala orang tebusan diapati amat menjengkel malah bertentangan dengan syariat Islam. Perbuatan membunuh dan memenggal kepala orang atas nama Islam bukan sahaja tidak bertamadun malah menjejas imej Islam di kaca mata dunia.Malah ia akan menguatkan persepsi dunia Barat yang  beranggapan kononnya Islam menganjurkan keganasan. 

Dengan itu, Malaysia selaku negara perintis pendekatan kesederhanaan perlu mengambil tindakan tegas dalam usaha membendung  golongan muda  terpengaruh dengan ideologi IS akibat kecelaruan dalam memahami prinsip jihad yang sebenar seperti dituntut oleh syariat Islam. Golongan muda perlu diberi penjelasan dan pemahaman bahawa  memenggal kepala orang yang tidak berdosa atas alasan agama adalah  dilarang  samasekali disisi Islam.

Malaysia selaku sebuah negara majmuk perlu berwaspada terhadap sebarang ideologi berpaksikan  fanatisme, perkauman atau keganasan  bersifat militant tidak menyusup masuk  dalam pemikiran anak muda  Islam kerana penduduk Malaysia  terdiri daripada  pelbagai keturunan, agama dan budaya seperti terjamin oleh  Perlembagaan Malaysia. Malaysia menghargai dan menghormati identiti etnik setiap kaum di negara ini dan menganggapnya sebagai satu aset yang dibanggakan.

Meryertai gerakkan IS adalah satu kesalahan dari sisi undang-undang Malaysia dan sesiapa yang di tangkap untuk kesalahan ini boleh didakwa  dibawah Akta 574 Keseksaan  dan boleh disiasat mengikut prosedur dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. Rakyat  Malaysia perlu buktikan kepada dunia bahawa Malaysia selaku negara pelopor pendekatan Kesederhanaan atau Wasatiyyah tetap  menolak sebarang bentuk keganasan dan ideologi  extremisme  dalam membina sebuah masyakat Malaysia yang peradaban tinggi  dan progresif.


No comments: