Monday, June 20, 2016

KEPUTUSAN PRK KUALA KANGSAR DAN SUNGEI BESAR MEMBERI ISYARAT PARTI PEMBANGKANG AKAN GULUNG TIKAR DALAM PRU14.

Menurut analisa statistik keputusan PRK kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungei Bear yang berlangsung pada 18.6.2016, sokongan  pengundi Melayu kelihatan di bahagi dua  secara sama rata iaitu 50-50 (watershed) iaitu antara BN dan parti lawanya (PAS dan Amanah). Di Kuala Kangsar, BN menerima 12,653 undi dan parti  pembangkang menerima  10,567 undi , jumlah  undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon pembangkang. Ini bermakna, BN  mendapat 2,086  undi lebih daripada jumlah undi yang diperolehi oleh parti  pembangkang. BN menang dengan majoriti 1,082  dalam PRU 13 dan kini menang dengan majoriti 6,969 undi. Walaupun calon BN di Kuala Kangsar dilaporkan menang dengan majoriti 6,969 undi, penelitian secara  terperinci  menunjukkan   BN hanya meningkatkan 1,004 undi lebih  kali ini berbanding dengan sokongan yang diterima pada PRU13. Undi populariti BN meningkat 3.6 % di Kuala Kangsar. 
Manakala, di Sungei Besar pula, BN menerima  16,800 undi   berbanding dengan jumlah undi 14,511 undi yang diperolehi oleh kedua-dua calon parti pembangkang. Walaupun BN menang dengan  majoriti 9,191 undi,  BN  hanya memperolehi  2,289 undi lebih daripada calon pembangkang. BN menang dengan majoriti ialitu 399 undi pada PRU13, tetapi dalam PRK kali kali  ini  memperolehi 2,289 undi  lebih daripada parti pembangkang.Ini bermakna,  BN dapat meningkatkan sokongan sebanyak 1,890 undi dalam PRK ini berbanding dengan sokongan yang diperolehi dalam PRU13. Undi polulariti BN meningkat  3.4 % di Sungei Besar. 
Trend yang menarik dalam PRK ini adalah kecenderungan politik pengundi Cina yang mengalih menyokong BN. Adalah dianggarkan hampir 35 peratus pengundi Cina mengalih sokongan mereka kepada BN. Manakala hampir 65 peratus pengundi India menyokong BN. Kadar ini  jauh lebih baik berbanding dengan PRU13. Persoalanya, apakah faktor-faktor menolak dan menarik yang menyebabkan peralihan sokongan pengundi Cina dan India kepada BN?   
Pada hemat saya, selain daripada faktor  sifat mesra rakyat calon BN yang menarik hati pengundi Cina  dan India, faktor yang utama  yang mendorong pengundi bukan Melayu  menyokong BN adalah faktor pengundi Cina dan India, yang sebahagian besar masih tinggal di luar bandar,  mengharapkan kerajaan BN membantu mereka mengatasi permasalahan  yang dihadapi oleh mereka diperingkat   lokal. Mereka dikesan kurang tertarik dengan  retorik atau  isu-isu nasional  yang dijaguhkan oleh parti pembangkang. Selain itu, pendekatan inklusif yang diambil oleh jentera BN dalam usaha merayu undi telah memenangi minda dan hati pengundi bukan Melayu. 
Gelombang  pengundi Cina mengalih sokongan mereka kepada BN, yang meniub di Sarawak dalam PRN11, telah tiba di Semenanjung malah memberi kesan kepada pemikiran politik pengundi Cina di Semenanjung. Pengundi Cina dikesan sudah mula menolak parti pembangkang kerana kecewa dengan kepimpinan parti-parti pembangkang yang gagal ‘deliver’ ataupun  tidak menepati janji-janji mereka kepada rakyat. Manakala, dikalangan pengundi India pula, kepimpinan DS Dr.Subramaniam ,  didapat mendapat sokongan hebat daripada kaum  India secara amnya dan pengundi India secara  khususnya. 

Kesimpulannya, sekiranya momentum sokongan bukann Melayu kepada BN  dikekalkan, parti pembangkang yang menyertai Pakatan Harapan akan gulung tikar dalam PRK14!

No comments: