Amat membimbangkqn. Itulah
kata-kata yang mampu diucap dengan keadaan keluk pandemik COVID-19 yang semakin
naik sehingga mencecah angka lima digit. Memandangkan kes COVID-19 semakin meningkat,
maka kerajaan menyambung PKP 2.0 sehingga 18 Februari 2021. Meskipun pihak kerajaan
berusaha untuk melandaikan keluk
pandemik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan
ditambahkan lagi pengisytiharan perintah darurat, namun kes COVID-19 masih terus melonjak.
Banyak persoalan ditimbulkan dalam kalangan rakyat terutamanya dalam media sosial tentang isu ini. Antaranya
ialah apakah punca sebenarnya yang menyebabkan pandemik COVID-19 terus meningkat tanpa
adanya sebarang titik noktah? Dimanakah kita telah terlepas pandang? Apakah
ruang yang harus teliti kembali dan
diperbaiki semula demi menyekat penularan pandemik ini?
Rata-ratanya menyuarakan
bahawa rakyat Malaysia mempunyai kesedaran dan tanggungjawab dalam pematuhan
PKP dan SOP. Ini dapat dilihat dengan sambutan Hari
Thaipusam yang dilakukan secara sederhana oleh penganut Hindu. Sebelum
ini, upacara sembahyang secara
besar-besaran dilakukan pada hari Thaipusam di semua Kuil Murugan di seluruh negara.
Antara kuil yang terkemuka ialah Kuil Batu Caves yang dikunjungi oleh ribuan penganut Hindu. Pada kali ini, penganut
Hindu tidak menyambut hari Thaipusam seperti yang dilakukan sebelum ini kerana komuniti India mematuhi arahan MKN
supaya menggelakkan perhimpunan secara beramai-ramai. Sebagai sebuah agensi
kerajaan, MKN amat memahami dan menghormati sentimen komuniti India terhadap
agama mereka dengan membenarkan perarakan pedati. Perarakan ini telah menjadi
amalan sambutan perayaan Thaipusam di
Kuala Lumpur lebih 100 tahun. Namun
perarakan ini dijalankan dengan SOP yang ketat dimana hanya sepuluh orang
sahaja dibenarkan semasa perarakan
pedati pada pertama kali dalam sejarah perayaan sambutan di Batu Caves. Bahkan pihak pengurusan Kuil Batu Caves juga
menepati syarat-syarat kelulusan MKN dan SOP dengan tidak membenarkan penganut Hindu mengikuti perarakan pedati. Tahun 2021 menyaksikan perayaan
Thaipusam disambut dengan Normal Baru!
Sehubungan ini, timbul
beberapa isu yang mengaitkan dengan
penguatkuasaan PKP dan lanjutan PKP sehingga 18 Februari 2021. Langkah
penguatkuasaan PKP secara keseluruhan di
seluruh negara kecuali Sarawak dikatakan
akan terus menjejaskan kelangsungan hidup buat sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya
kumpulan B40. Golongan rakyat marhaen
yang masih hidup ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’ berdepan
dengan kesulitan bagi mencari pendapatan
untuk menampung keperluas asas harian.
Meskipun pihak kerajaan
menyalurkan pelbagai bantuan, namun golongan rakyat yang bergantung kepada mata
pencarian secara harian masih menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan asas
mereka. Dalam pada itu, ramai pekerja kilang kehilangan pekerjaan dan perniaga kecil
kehilangan sumber pendapatan setelah PKP dikuatkuasakan.
Sehubungan itu, sebahagian besar rakyat Malaysia yang
terkesan akibat penguatkuasaan PKP meluahkan kebimbangan mereka terutama terhadap
keberkesanan PKP yang nampaknya tidak begitu menyakinkan. Walaupun rakyat tetap patuh terhadap strategi
kerajaan, namun mereka melihat perlu
adanya pelan tindakan alternatif lain.
Dalam pada itu, rakyat amat berpuashati terhadap urus tadbir
kerajaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang amat prihatin terhadap kebajikan rakat yang terkesan pandemik
Covid-19. Namun, mereka berharap kerajaan kepimpinan beliau perlu merangka satu
strategi baharu terhadap penguatkuasaan PKP yang berbentuk mesra ekonomi golongan B40, kumpulan masyarakat terbesar
yang terkesan COVID-19, dalam menyekat
penularan COVID-19 pada masa akan datang.