Saturday, March 26, 2011

KEBEBASAN AGAMA TERJAMIN UNTUK RAKYAT SARAWAK

Kebebasan beragama untuk rakyat Malaysia, termasuk penduduk Sarawak, adalah terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan menetapkan dalam Artikel 3 bahawa Agama Islam adalah agama bagi Persekutuan.Namun, agama-gama lain boleh di amalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Rakyat di Sarawak bukan sahaja boleh mengamal agama masing-masing dengan bebas malah boleh mengembangkan agama mereka dikalangan mereka dengan aman dan bebas. Kerajaan BN tidak pernah menghalang kebebasan dan amalan agama Kristian di Sarawak seperti didakwa oleh pihak-pihak yang tertentu.

Malah, penubuhan dan pengakuan oleh kerajaan BN terhadap pelbagai pertubuhan agama, termasuk pertubuhan Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) dan Christian Federation of Malaysia (CFM), jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN mengamalkan dasar kebebasan agama di Malaysia.

Selain itu, pembinaan dan bertaburan pusat ibadat bukan Islam seperti Kuil dan Gereja di seluruh Malaysia, malah saban hari peningkatan jumlah pusat-pusat ibadat bukan Islam diseluruh Malaysia juga jelas menunjukkan bahawa kerajaan BN tidak menghalang perkembangan agama-agama bukan Islam di Malaysia,khususnya perkembangan dan pembangunan agama Kristian di Sarawak.

Berdasarkan kajian Inventori tempat ibadat bukan Islam yang di jalankan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada tahun 2008, jumlah rumah ibadat yang dikenalpasti samada berdaftar dan tidak berdaftar di seluruh Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 4,244 buah. Ianya terdiri daripada Tokong Cina/Buddha/Watt Siam sebanyak 2,117 buah, Gereja 524 buah, Kuil Hindu 1,466 buah, Gurdwara Sikh 78 buah dan lain-lain tempat keagamaan selain Islam 59 buah.

Jumlah besar pusat ibadat bukan Islam di Malaysia jelas mempaparkan bahawa Kerajaan BN sejak tahun 1957 berlaku adil dalam hal-hal yang berkaitan dengan urusan agama bukan Islam. Malah, kerajaan Puasat dan Negeri membelanja berjuta-juta ringgit untuk membina dan membaik pulih pusat-pusat ibadat serta menghakmilikan tanah-tanah yang terletaknya Gereja kepada komuniti Kristian di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.

Menurut Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, bagi tempuh 2000 hingga 2010, sejumlah RM30juta (RM28,960,928.00) telah diperuntukkan bagi menaiktaraf dan membina 1,360 buah rumah ibadat bukan Islam.

Dengan itu dakwaan parti pakatan pembangkang bahawa kerajaan BN menghadkan kebebasan, terutamanya Kristian di Sarawak adalah tidak berasas dan hanya satu taktik politik untuk mengelirukan rakyat.

Baru-baru ini, parti pembangkang membangkitkan malah mempolitikkan peristiwa KDN menahan pengimpotan ‘Alkitab’ berbahasa Melayu yang didapati mengandungi kalimah ‘Allah’ untuk mengeruhkan suasana politik yang aman dan damai di Sarawak.

Rakyat Malaysia, terutamanya di Sarawak,perlu berhati-hati dalam isu yang berkaitan dengan pengimpotan kitab Injil dari luar negara supaya tidak terpedaya dengan dakyah pihak-pihak tertentu yang mempunyai agenda politik.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuat keputusan menahan pengimpot membawa masuk 30,000 kitab Injil berbahasa Melayu di Kuching, Sarawak dan 3,100 di Pelabuhan Kelang, Selangor. Keputusan itu adalah dibuat kerana pengimpot kitab Injil tersebut gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh KDN untuk membawa masuk bahan-bahan cetak yang berunsur agama.

Berhubung dengan isu ini, Rakyat Malaysia, terutamanya rakyat di Sarawak dan Sabah,perlu dijelaskan dengan syarat-syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Artikel 3 dalam Perlembagaan Persekutuan menyentuh tentang kebebasan agama, kebebasan itu adalah tertakluk kepada perkara 11 (4) yang membendung pengembangan agama-agama bukan Islam di kalangan masyarakat Islam.

Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan: "Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya".

Artikel 11(4) seterusnya memperuntukkan bahawa "undang-undang Negeri dan di Wilayah-Wilayah Persekutuan Labuan, Kuala Lumpur dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara penganut agama Islam".

Ini adalah suatu hakikat perundangan (legal reality) yang perlu diambil kira oleh rakyat Malaysia, terutamanya rakyat di Sarawak dan Sabah dimana bilangan besar penduduknya beragama Kristian demi mencapai harmoni antara kaum.

Namun, kerajaan BN, kepimpinan Najib Tun Razak yang mendukung obor 1Malaysia –Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, membuat keputusan,mengambil kira permintaan kerajaan negeri Sarawak dan badan-badan serta pertubuhan -pertubuhan agama bukan Islam di Sarawak, untuk membenarkan kitab Injil dibawa masuk dengan syarat pihak pengimpot menepati peraturan-peratuturan yang sedia ada di Malaysia.

Rakyat Sarawak kini bebas memperolehi kitab Injil dalam bahasa Malaysia yang mengandungi perkataan '“For Christianity”.Malah, pihak Gereja atau pengimpot juga dibenarkan membawa masuk kitab Injil dalam bahasa Melayu dengan perkatan '“For Christianity' pada masa-masa akan datang.

Dengan itu, kontroversi kitab Injil dianggap selesai dengan baik oleh Dato Seri Mohd. Najib Tun Razak, Perdana Menteri.

No comments: