Thursday, December 24, 2009

YAB Mohd.Najib Tun Razak Menyeru Rakyat Malaysia Menyuburkan Roh Maal Hijrah

Ketika berucap sempena sambutan Maal Hijrah 1431 di Putrajaya pada 11 Disember lalu, Perdana Menteri, YAB Dato` Sri Mohd. Najib Tun Razak, menyeru umat Islam di negara ini menghayati semangat Hijrah dengan mengukuhkan ukhwah di kalangan mereka.

Menurut Najib, semangat atau roh Hijrah adalah selaras dengan Gagasan 1Malaysia kerana ianya mementingkan semangat tabah hati dan perpaduan di kalangan umat manusia.

Perdana Menteri menyeru pemimpin politik dan kerajaan, malah anggota masyarakat menterjemahkan semangat Hijrah dalam melestarikan Gagasan 1Malaysia supaya hubungan dan perpaduan antara masyarakat Islam dan bukan Islam bertambah erat seperti hubungan yang terjalin dalam zaman pentadbiran Kerajaan Islam di Madinah .

Peristiwa Hijrah adalah dianggap sebagai batu asas dalam membentuk dan membina sebuah negara Islam yang masyarakatnya terdiri daripada penduduk yang mengamal agama dan budaya berbeza di Madinah ketika itu. Walaupun bersifat majmuk, namun masyarakatnya sudah pun mengamalkan pelbagai nilai sejagat yang wajar dijadikan contoh ikutan.

Banyak nilai-nilai sejagat yang terkandung dalam peristiwa Hijrah itu berjaya kita laksanakan dalam membina masyarakat yang bersatu padu. Ini termasuk dalam menjayakan gagasan 1Malaysia. Nilai-nilai murni sejagat yang dimajukan dalam Gagasan 1Malaysia adalah berkisar sekitar prinsip keadilan sosial, penerimaan dan pengakuan kewujudan perbezaan antara kaum dalam membina sebuah negara-bangsa yang bersatu padu.

Gagasan 1Malaysia menyeru rakyat lebih mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan indidividu atau sesuatu kaum tertentu supaya keseluruhan rakyat dan negara dapat menikmati kemajuan, kejayaan dan kesejahteraan hidup tanpa perasaan mereka tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara.

Justeru, sempena menyambut hari Maal Hijrah 1431, Najib menyeru rakyat melangkah ke hadapan mempererat dan memperkukuh hubungan antara kaum tanpa mengira perbezaan fahaman politik demi kepentingan negara.

Sesungguhnya, kejayaan dan kemewahan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia pada masa sekarang bukanlah datang dengan mudah, sebaliknya adalah hasil pengkorbanan dan kebijaksanaan pemimpin dan rakyat sebelumnya. Pendek kata, kemajuan dan kejayaan Malaysia yang kita saksikan pada hari ini adalah selari dengan semangat Hijrah yang tinggi , kesetiaan, tabah hati dan keazaman tinggi rakyat berbilang kaum sejak merdeka.

Kerajaan yang memerintah sejak merdeka 52 tahun lalu telah merancang dan melaksanakan pelbagai agenda pembangunan untuk mengubah negara ini daripada negara pertanian kepada negara industri berteraskan pertanian dalam bidang ekonomi.

Dengan pengalaman dan kejayaan tersebut, kita negara kita mula melangkah ke arah model ekonomi baru yang lebih fokus dan mementingkan kepada inovasi, daya cipta dan tambah-nilai supaya negara berubah daripada masyarakat yang berpendapatan pertengahan kepada masyarakat berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dan seterusnya.

Kerajaan telah meningkatkan usaha untuk mengubah minda rakyat Malaysia supaya menghadapi cabaran-cabaran ekonomi kesan globalisai supaya Malaysia dapat mengekalkan kejayaan yang diperolehi malah mempertahankan relevansinya dalam dunia yang penuh mencabar dan kompetetif.

Rakyat harus sedar bahawa Malaysia telah mencipta kejayaan demi kejayaan dalam bidang ekonomi dan sosial sejak merdeka berbanding dengan lain-lain negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum, agama dan budaya.

Dunia masih menganggap Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang terunggul, malah dilihat sebagai sebuah negara yang maju, dinamik dan progresif dalam dunia.

Formula yang mendatangkan kejayaan Malaysia adalah perpaduan, kepercayaan dan saling hormat-menghormati, sikap kesederhanaan dan menerima perbezaan sebagai realiti hidup yang menjadi aset kejayaan keseluruhan rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, rakyat diseru terus menyuburkan semangat perpaduan dan persaudaraan antara kaum tanpa mengira perbezaan warna kulit, pangkat, keturunan dan agama seperti yang pernah diasaskan oleh masyarakat Madinah.

Perlembagaan Madinah yang terhasil dari peristiwa Maal Hijrah merupakan sebuah dokumen perlembagaan terulung dalam tamadun Islam, malah manusia, yang mengariskan tatasusila tingakah laku bernegara penduduk Bandar Madinah.

Ia telah membuktikan bahawa sebuah negara bangsa yang terdiri daripada penduduk berbilang keturunan, kepercayaan dan agama boleh hidup aman, damai, harmoni serta makmur. Demikianlah kita, melalui Perlembagaan Persekutuan yang dilahirkan pada tahun 1957 mempunyai banyak ciri-ciri persamaan dengan semangat Perlembagaan Madinah yang diasaskan oleh nabi Muhammad s.a.w..

Usaha kerajaan memperkenalkan Gagasan 1Malaysia boleh dianggap sebagai satu kesinambungan usaha menterjemahkan roh Maal Hijrah supaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum,agama dan budaya dapat hidup aman, damai dan makmur sebagai satu keluarga besar dalam sebuah negara yang berdaulat.

Rakyat Malaysia harus mengambil iktibar dari pengalaman sejarah dan peristiwa Hijrah supaya hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia dapat dipereratkan ke tahap yang lebih tinggi untuk menjamin kesejahteraan dan keadilan sosial untuk semua kaum.




PENJELASAN GAGASAN 1 MALAYSIA


Gagasan `1 Malaysia` adalah satu gagasan kesinambungan agenda pembangunan negara yang diperkenalkan oleh YAB Dato` Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri apabila beliau mengambil alih teraju pentadbiran negara.Ia berteraskan beberapa nilai–nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Gagasan ini adalah digagaskan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.

ADAKAH GAGASAN 1 MALAYSIA MERUPAKAN SATU DASAR BARU KERAJAAN?

Gagasan 1 Malaysia bukanlah satu gagasan yang mendukung atau memajukan satu dasar baru. Sebaliknya, ia adalah satu gagasan pelengkap atau kesinambungan kepada pendekatan terdahulu yang diamal dan diterapkan untuk terus mengukuhkan perpaduan, kestabilan, keamanan dan kesejahteraan supaya terus meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara supaya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia.

Matlamat 1 Malaysia adalah untuk melahirkan sebuah negara bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang harus menganggap diri mereka sebagai satu keluarga besar dan sekaligus mencapai perpaduan yang jati antara berbilang kaum.

APAKAH INTIPATI UTAMA YANG TERKANDUNG DALAM GAGASAN 1 MALAYSIA?

Gagasan 1 Malaysia menekankan sikap penerimaan kelainan atau kepelbagaian yang wujud di kalangan rakyat sebagai satu realiti hidup rakyat Malaysia. Rakyat berbilang keturunan dan etnik di Malaysia perlu menerima keunikan kaum yang lain tetapi tetap mengutamakan kesetiaan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malah, mereka perlu bersedia hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati nilai-nilai dan kepercayaan kaum yang lain.

APAKAH GAGASAN 1 MALAYSIA AKAN MELENYAPKAN HAK KEISTIMEWAAN KAUM BUMIPUTRA (MELAYU) DAN LEBIH MEMENTINGKAN KEPENTINGAN RAKYAT BUKAN MELAYU?

Tidak benar. Gagasan 1 Malaysia bukanlah merupakan satu usaha mengapuskan hak keistimewaan kaum bumiputra yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Gagasan 1 Malaysia adalah dimajukan berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara. Ini bermakna dasar-dasar kerajaan dan program-program pembangunan yang disediakan bagi meningkatkan kedudukan sosial dan ekonomi orang Melayu supaya setanding dengan lain-lain kaum akan terus disediakan berdasarkan peruntukan-peruntukan yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Namun, lain-lain kaum dan etnik juga terus mendapat pembelaan dan bantuan selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal berteraskan semangat kontrak sosial.Gagasan 1 Malaysia mendukung prinsip keadilan untuk semua kaum. Ini bermakna, nasib dan kepentingan semua kaum dibela dan mana-mana kaum atau kumpulan masyarakat pun tidak dipinggirkan.

Hakikatnya, Gagasan 1 Malaysia menegaskan bahawa tidak siapapun rakyat Malaysia perlu menganggap diri mereka sebagai rakyat kelas 2 atau dipinggirkan dalam arus pembangunan perdana negara ini. Malah setiap kaum, bumiputra ataupun bukan bumiputra, yang memerlukan bantuan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup masing-masing akan dibantu oleh kerajaan.

APAKAH GAGASAN 1 MALAYSIA AKAN LENYAPKAN IDENTITI PELBAGAI KAUM DI MALAYSIA?

Usaha melahirkan satu generasi rakyat 1 Malaysia bukanlah merupakan satu proses asimilasi yang mampu melenyapkan identiti kaum atau etnik seperti diamalkan di negara-negara lain. Sebaliknya, gagasan 1 Malaysia menghargai dan menghormati identiti dan keunikan kaum dan etnik masing-masing selaras dengan kerangka persetujuan yang telah dicapai dan dipersetujui dalam kontrak sosial oleh pelopor-pelopor kemerdekaan tanah air dan kemudiannya menyerlah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malah, gagasan 1 Malaysia memajukan konsep bahawa keunikan dan kelainan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia sebagai satu aset yang patut dibanggakan oleh rakyat Malaysia kerana keunikan itu membantu dalam usaha meningkatkan pembangunan Negara kepada tahap yang lebih tinggi.

APAKAH NILAI-NILAI UTAMA YANG DIMAJUKAN OLEH GAGASAN 1 MALAYSIA?

Gagasan 1 Malaysia adalah pemangkin kepada kesinambungan sebuah negara bangsa yang mementingkan sikap kesamaan dan kekitaan (togetherness) di kalangan rakyat. Malah, rakyat perlu memahami dan menghayati nilai-nilai utama yang digolongkan dalam nilai teras 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.

Sesungguhnya, semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah rakyat jati Malaysia di mana segala hasil pembangunan perlu dinikmati secara bersama. Rakyat Malaysia perlu menganggap Malaysia sebagai negara ibunda atau negara kita bersama, di mana semua kaum atau masyarakat dapat hidup aman dan sentosa.

APAKAH BENAR DAKWAAN GAGASAN 1 MALAYSIA ADALAH SAMA DENGAN KONSEP `MALAYSIA MALAYSIA` YANG DILAUNGKAN OLEH PARTI DAP DALAM TAHUN 60`AN?

Konsep `Malaysian Malaysia` yang dimajukan oleh parti PAP dari Singapura yang kemudiannya diperjuangkan oleh DAP dalam politik Malaysia bertujuan melenyapkan hak keistimewaan yang diperuntukkan untuk kaum bumiputra dalam Perlembagaan Persekutuan dan bermatlamatkan menegakkan hak samarata bagi semua kaum tanpa memperhitungkan atau mengetepikan peruntukan-peruntukan utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Konsep Malaysian Malaysia juga didapati bertentangan dengan semangat kontrak sosial yang merupakan asas dan tonggak kepada pemerintahan negara ini sejak merdeka.

Sebaliknya, Gagasan 1 Malaysia merupakan satu penerusan agenda melahirkan sebuah negara bangsa bersandarkan Perlembagaan Persekutuan. Malah, gagasan 1 Malaysia lebih memfokuskan kepada menyediakan peluang-peluang yang samarata, membantu kumpulan dan golongan rakyat yang masih tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara, mendorong kumpulan yang lebih kaya membantu kumpulan dan golongan yang masih berkurangan dan memerlukan bantuan. Ini bermakna Gagasan 1 Malaysia lebih menterjemahkan semangat keadilan sosial kepada rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan budaya.

APAKAH BENAR DAKWAAN GAGASAN 1 MALAYSIA ADALAH SATU SLOGAN `LIP-SERVICE` ATAU STRATEGI POLITIK UNTUK MEMUJUK WARGA BUKAN MELAYU MEMIHAK BN?

Gagasan 1 Malaysia adalah satu proses penerusan pendekatan kerajaan BN bagi mengukuhkan perpaduan yang sedia terjalin di kalangan rakyat Malaysia. Perpaduan rakyat adalah matlamat utama dasar dan program kerajaan sejak merdeka. Mantan Perdana Menteri seperti YTM Tunku Abdul Rahman, Tun Razak,Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamed dan Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengasaskan dasar-dasar tertentu untuk mengukuh perpaduan di kalangan rakyat yang berbilang kaum dan keturunan. YAB Mohd.Najib Tun Razak yang mengambil alih teraju pentadbiran negara pada bulan April 2009 meneruskan tradisi menyatupadukan rakyat dengan pendekatan Gagasan 1 Malaysia.

Kerajaan BN yang dipimpin oleh PM, YAB Mohd.Najib Tun Razak amat komited terhadap merealisasikan gagasan 1 Malaysia sejak diumumkan. Dasar-dasar dan program-program pembangunan yang diumumkan oleh Najib selaku Perdana Menteri dengan jelas menunjukkan keiklasan beliau dalam menterjemahkan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Program-program pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat diberi perhatian dan keutamaan dalam pendekatan 1 Malaysia. Maka, kaum yang dianggap tertinggal dalam bidang ekonomi-sosial berbanding dengan kaum lain, kini diberi pertimbangan khusus dalam sektor sosio-ekonomi mereka. Hasrat ini jelas digariskan dalam Bajet 2010 yang dibentang oleh PM pada 23 Oktober 2009.

Pada masa yang sama, kerajaan telah memperkenalkan Petanda Utama Pencapaian atau Key Performance Indicator(KPI) untuk mengukur dan menilai prestasi perkhidmatan kerajaan malah menggerak dan mendorong sektor perkhidmatan awam meningkatkan kecekapan dan kualiti perkhidmatannya kepada rakyat. KPI bagi 6 Jabatan kerajaan juga telah ditetapkan baru-baru ini dalam merealisasikan gagasan 1 Malaysia.

Ini jelas menunjukkan bahawa gagasan 1 Malaysia bukan satu retorik politik semata-mata, malah kerajaan komited dan bersungguh-sungguh dalam menterjemahkan hasrat `1 Malaysia`.