Tuesday, February 2, 2021

PKP 2.0 PERLU MESRA EKONOMI GOLONGAN B40

 

Amat membimbangkqn. Itulah kata-kata yang mampu diucap dengan keadaan keluk pandemik COVID-19 yang semakin naik sehingga mencecah angka lima digit.  Memandangkan kes COVID-19 semakin meningkat, maka kerajaan menyambung PKP 2.0 sehingga 18 Februari 2021. Meskipun pihak kerajaan  berusaha untuk melandaikan keluk pandemik dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan ditambahkan lagi pengisytiharan perintah darurat, namun  kes COVID-19  masih terus melonjak.     

Banyak persoalan ditimbulkan  dalam kalangan rakyat terutamanya  dalam media sosial tentang isu ini. Antaranya ialah apakah punca sebenarnya yang menyebabkan pandemik COVID-19  terus meningkat   tanpa adanya sebarang titik noktah? Dimanakah kita telah terlepas pandang? Apakah ruang yang harus  teliti kembali dan diperbaiki semula demi menyekat penularan pandemik ini?

Rata-ratanya menyuarakan bahawa rakyat Malaysia mempunyai kesedaran dan tanggungjawab dalam pematuhan PKP  dan SOP.  Ini dapat dilihat dengan sambutan Hari Thaipusam yang dilakukan secara sederhana oleh penganut Hindu. Sebelum ini,  upacara sembahyang secara besar-besaran dilakukan pada hari  Thaipusam di semua Kuil Murugan di seluruh negara. Antara kuil yang terkemuka ialah Kuil Batu Caves yang dikunjungi oleh  ribuan penganut Hindu. Pada kali ini, penganut Hindu tidak menyambut hari Thaipusam seperti yang dilakukan sebelum ini  kerana komuniti India mematuhi arahan MKN supaya menggelakkan perhimpunan secara beramai-ramai. Sebagai sebuah agensi kerajaan, MKN amat memahami dan menghormati sentimen komuniti India terhadap agama mereka dengan membenarkan perarakan pedati. Perarakan ini telah menjadi amalan sambutan   perayaan Thaipusam di Kuala Lumpur  lebih 100 tahun. Namun perarakan ini dijalankan dengan SOP yang ketat dimana hanya sepuluh orang sahaja dibenarkan semasa  perarakan pedati pada pertama kali dalam sejarah perayaan sambutan di Batu Caves.  Bahkan pihak pengurusan Kuil Batu Caves juga menepati syarat-syarat kelulusan MKN dan SOP  dengan tidak  membenarkan penganut Hindu mengikuti  perarakan pedati. Tahun 2021 menyaksikan perayaan Thaipusam disambut dengan Normal Baru!

Sehubungan ini, timbul beberapa isu  yang mengaitkan dengan penguatkuasaan PKP dan lanjutan PKP sehingga 18 Februari 2021. Langkah penguatkuasaan PKP secara  keseluruhan di seluruh negara kecuali Sarawak dikatakan  akan terus  menjejaskan  kelangsungan hidup buat  sebahagian besar rakyat Malaysia, terutamanya kumpulan B40. Golongan rakyat  marhaen yang masih hidup ‘kais pagi makan pagi kais petang makan petang’ berdepan dengan kesulitan bagi mencari  pendapatan untuk menampung keperluas asas  harian. 

Meskipun pihak kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan, namun golongan rakyat yang bergantung kepada mata pencarian secara harian masih menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan asas mereka.  Dalam pada itu, ramai  pekerja kilang kehilangan pekerjaan dan  perniaga kecil  kehilangan sumber pendapatan setelah PKP dikuatkuasakan.  

Sehubungan itu,  sebahagian besar rakyat Malaysia yang terkesan akibat penguatkuasaan PKP  meluahkan kebimbangan mereka terutama terhadap keberkesanan PKP yang nampaknya tidak begitu menyakinkan.  Walaupun rakyat tetap patuh terhadap strategi kerajaan, namun  mereka melihat perlu adanya  pelan tindakan alternatif lain.

Dalam pada itu,  rakyat amat berpuashati terhadap urus tadbir kerajaan  kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang amat prihatin terhadap kebajikan rakat yang terkesan pandemik Covid-19. Namun, mereka berharap kerajaan kepimpinan beliau perlu merangka satu strategi baharu terhadap penguatkuasaan PKP yang berbentuk mesra ekonomi   golongan B40, kumpulan masyarakat terbesar yang terkesan COVID-19,  dalam menyekat penularan COVID-19 pada masa akan datang.