Baru-baru ini rakyat Malaysia dicurahkan dengan pelbagai maklumat yang memesong dan mengelirukan minda . Antaranya , pendedahan kelemahan dalam pengurusan kewangan kerajaan oleh laporan Audit, pita rakaman VP Lingam, pendedahan pengundi hantu oleh Rockyu, saudara Ahiruddin Atan, Petisyen rakyat , peristiwa 8 September di Trengganu dan macam-macam lagi. Semua laporan tersebut melunturkan sedikit demi sedikit keyakinan rakyat terhadap harapan tinggi merealisasikan pelaksanaan urus tadbir atau ' good governance' yang menjadi agenda utama kerajaan.
Dalam hubungan ini, rakyat berhak mendapat penjelasan daripada pihak yang berkenaan. Tanpa penjelasan yang wajarnya, rakyat tidak ada pilihan melainkan mencari tindakan alternatif dalam membetulkan keadaan
Walaubagaimanapun, saya berpendapat bahawa pendedahan kelemahan-kelemahan tersebut secara terbuka oleh media baru 'blog' , bukan media perdana yang didakwa di kuasai oleh orang -orang yang memihak kerajaan, menunjukkan masih terdapat ruang untuk publik menyatakan apa yang hendak dinyatakan. Kebebasan menyatakan ini merupakan hak asasi yang terpenting dalam sistem politik demokrasi. Saya berharap rakyat Malaysia masih bertuah dan hendaklah terus bertekad untuk melindungi hak asasi ini tanpa mencacatkan etika dan tanpa melanggari batasan ketamadunan masyarakat Asia.
Dalam pada itu, saya amat sedih dan pilu hati mendengar kisah yang amat mendukacita mengenai adik Nurin Jazlin Jazimin. Nurin dilaporkan hilang sejak 20 Ogos . Mayatnya ditemui hampir sebulan kemudian.Nurin dipercayai diseksa sebelum memberhentikan nafas terakhir. Orang yang melakukan perbuatan yang keji dan kejam ke atas Nurin bukanlah keturunan manusia .
Apa yang menjadi tanda tanya kepada saya adalah apakah pihak polis yang pernah mencatat nama baik di peringkat antarabangsa dalam menangkap penjenayah berat atau berjaya menyelesai kes-kes jenayah yang profil tinggi, tidak mampu mengelak kecelakaan yang tidak perikemanusiaan yang dialami oleh adik Nurin.
Peristiwa Nurin mengajar kita bahawa sudah sampai masa rakyat Malaysia menghidupkan kembali budaya 'CARE' iaitu menganggap anak orang sebagai anak kita dan jiran kita sebagai saudara kita yang terdekat . Budaya sebegini merupakan nilai-nilai asas agama rakyat Malysia. Saya difahamkan rakyat bumi yang bertuah ini , Malaysia, mengamalkan budaya tersebut dalam zaman sebelum Merdeka sehingga tahun-tahun 60 an. Tetapi, budaya tersebut dilihat kian melentur dikalangan generasi pasca merdeka .Ini bermakna, ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pembelajaran, termasuk sistem hubungan antara ahli-ahli dalam dan antara keluarga dan kaum.
Peristiwa Nurin harus menjadi pengajaran kepada kita supaya kita bertindak dengan lebih hemat sebagai satu keluarga yang besar dalam mencegah kejadian -kejadian seperti tersebut di masa-masa akan datang.
Ucapan Takziah kepada keluarga Nurin. May God Bless Nurin's Soul.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment