Friday, December 21, 2007

PERJUANGAN HINDRAF : SATU ANALISA RATIONAL

PERJUANGAN HINDRAF : SATU ANALISA RATIONAL


Perhimpunan Hindaraf yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 25 November 2007 telah menarik perhatian bukan sahaja masyarakat tempatan bahkan juga dunia. Saya amat sedih melihat beberapa orang muda yang terlibat dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh HINDRAF tanpa permit Polis didakwa dimahkamah atas kesalahan dibawah Akta Polis 1967 dan Seksyen Kanun Keseksaan.



Media tempatan secara amnya dan akhbar bahasa Tamil secara khususnya telah memberi liputan yang luas mengenai perhimpunan dan kes-kes yang berkaitannya di mahkamah, malah menjadikan tajuk utama atau ‘headlines’ dalam akhbar-akhbar harian berbahasa Tamil di Malaysia dan Tamil Nadu ,malah dalam media cetak dan elektronik antarabangsa seperti CNN,BBC dan Alzajeera . Liputan luas oleh akhbar Tamil bukan sahaja mengekalkan momentum yang di timbulkan oleh HINDRAF dikalangan masyarakat Tamil bahkan juga melariskan jualan akhbar –akhbar tersebut!

Dalam pada itu, pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, bahawa HINDRAF cuba mendapatkan bantuan pengganas antarabangsa (Utusan Malaysia , M.s.1, 7 Dis 2007) dan hujah Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, semasa mengetuai pendakwaan terhadap lima orang HINDRAF yang bersabit kesalahan dibawah seksyen 307 Kanun Keseksaan (Berita Harian, m.s. 9, 6 Dis.2007), bahawa segelintir pemimpin HINDRAF mempunyai hubungan sulit dengan Kumpulan Pemberontakan Harimau Pembebasan Tamil Eelam ( LTTE) atau Tamil Tigers di Sri Lanka bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia secara amnya malah menimbulkan kesangsiaan terhadap motif perjuangan HINDRAF.

Masyarakat India yang yakin dan menaruh simpati dengan perjuangan HINDRAF kini merasa keciwa apabila difahamkan bahawa penasihat undang-undang HINDRAF, P. Uthayakumar telah mengirim surat pada 15 November 2007 , kepada Perdana Menteri Britain, Gordown Brown, melalui e-mel bahawa kerajaan Malaysia sedang mengamalkan dasar pembersihan etnik atau ’ethnic cleansing’. Pendakwaan tersebut itu adalah satu dakwaan yang tidak berasas , malah merupakan satu usaha menghasut kaum India menentang kerajaan .Malah, Pengerusi DAP, En.Karpal Singh, selaku juara parti pembangkang, juga menolak dakwaan berlaku pembersihan kaum India di Malaysia.

Sementara itu, P.Waythamoorthy, pernah dilaporkan memfailkan satu petisyen di Mahkamah Tinggi England pada 30 Ogos 2007 bahawa kerajaan Malaysia melakukan kekejaman terhadap kaum India sejak merdeka, malah kerajaan British, sebagai bekas kuasa penjajah yang bertanggungjawap untuk membawa kaum India ke negara ini perlu membayar ganti rugi kepada kaum India sebanyak US $ 4 trillion, yang mana akan di bahagikan kepada setiap individu keturunan India di Malaysia (NST,17 Nov 2007). Antara dakwaan yang dilemparkan oleh HINDRAF adalah kononnya kerajaan BN merobohkan tempat-tempat ibadat agama Hindu , kadar kematian kaum India dalam tahanan lokap Polis kian meningkat , peluang pekerjaan bagi kaum India dalam sektor awam kian mengurang dan peluang serta kualiti pendidikan Sekolah Tamil turut merosot saban hari.

Dalam pada itu, P.Waythamoorthy juga kini dilaporkan berada diluar negara, selepas menghadap beberapa pemimpin di India , membuat persediaan untuk berjumpa pemimpin politik dan NGO di UK, Eropah dan USA dalam usaha melobi mendapat sokongan kuasa luar kepada perjuangan HINDRAF. Beliau telahpun berjumpa Ketua Menteri Tamil Nadu, Dr.K.Karunanidi, seorang pemimpin Tamil yang dianggap sebagai pemimpin Tamil sedunia yang amat disegani oleh masyarakat Tamil sedunia, dalam mendapat sokongan beliau mendesak Perdana Menteri India, Manmohan Singh, mencampurtangan dalam menyelesai isu yang dibangkitkan oleh HINDRAF.

P.Waythamoorthy, penyelaras utama HINDRAF , juga pernah dilaporkan berjumpa dengan seorang pemimpin kaum Tamil yang berpengaruh, VaiKO di Chennai,Tamil Nadu, yang pernah didakwa diatas Akta Keselamatan Dalam Negeri India kerana disyaki ada hubungan dengan kumpulan Tamil Tigers di Sri Lanka.Tindakan P. Waythaoorthy tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa HINDRAF mencuba mengheret isu dalam negeri ke peringkat antarabangsa iaitu ke UN atau Bangsa-Bangsa Bersatu, malah mendakwa membawa Malaysia ke Mahkamah Dunia dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa diatas kesalahan kononnya kerajaan Malaysia mengamalkan dasar pembersihan etnik.

Sekiranya kita membuat penelitian secara rasional, dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan oleh HINDRAF terhadap kerajaan yang tersebut di atas itu bukan sahaja tidak berasas, malah bertentangan dengan batas-batas undang-undang negara, tidak bertanggungjawab dan merupakan satu hasutan yang boleh membangkitkan perasaan kaum India membenci kerajaan. Kalau tidak dibendung boleh mencetuskan konflik perkauman.

Perjuangan asal HINDRAF, kononnya memartabatkan maruah kaum India melalui menuntut hak-hak yang sah ke arah membaiki kedudukan sosio-ekonomi kaum India di Malaysia, kini menjadi tandatanya malah menimbulkan keraguan terhadap keikhlasan pemimpin-pemimpin HINDRAF. Tidaklah keterlaluan sekiranya dirumuskan bahawa aktivis-aktivis HINDRAF, yang kebanyakannya terdiri daripada parti –parti pembangkang, kini didapati terlalu gaihrah dalam meraihkan sokongan politik bagi parti-parti politik mereka. . Apakah kaum India menyedari kesan tindakan mereka terhadap hubungan harmoni antara kaum yang kita telah membina sejak berpuluh-puluh tahun di negara ini? Apakah kaum India tidak menyedari bahawa tindakan yang melulu dan emosi itu berpotensi mencetuskan huru-hara dan konflik dalam negara?

Sehubungan ini, kaum India harus berwaspada terhadap apa sahaja tindakan yang akan dijalankan atas nama kaum India dan agama Hindu di masa-masa akan datang kerana perjuangan politik di luar lunas-lunas undang-undang dan sistem pentadbiran kerajaan yang sedia ada akan mendatangkan keaiban kepada nama baik kaum India. Kaum India adalah merupakan satu kaum yang setia dengan kerajaan ini sejak merdeka dan kesetiaan dan sokongan politik kaum India kepada kerajaan tidak pernah disangsi oleh kepimpinan kerajaan Malaysia. Kepimpinan Kerajaan Malaysia juga didapati amat menghargai sokongan padu kaum India dalam menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang membangun dan maju, malah banyak membantu mengkukukan stabiliti politik negara ini dalam saat-saat genting.

Dalam hal ini , kita harus menjadikan seruan Raja Muda Perak, YTM Dr.Raja Nazrin Shah, sebagai panduan hidup bagi setiap warga negara ini. YTM Raja Muda Perak menggesa rakyat Malaysia agar 'menghormati undang-undang dan agensi pelaksana undang-undang dalam mengemukakan masalah dan rintang yang dihadapi oleh rakyat kepada kerajaan. Kita jangan samasekali mencuba mencabar agensi pelaksana undang-undang kerana tindakan sedemikian akan menimbulkan kekacauan dalam negeri yang mana pasti akan merugikan semua pihak'.

Dengan itu, pemimpin-pemimpin kaum India harus menunjukkan kematangan dalam pemikiran dan pertuturan supaya tidak diterperangkap oleh dakyah anasir-anasir yang cuba memecah belahkan rakyat untuk mencapai agenda politik politik mereka. Sudahlah sampai masa untuk kaum India dan aktivis sosial dan politik balik ke pangkal jalan mempastikan agar perjuangan untuk meningkatkan taraf hidup kaum India berlandaskan kepada peraturan undang-undang dan ketamadunan kaum India .

Tegasnya, kaum India menolak secara total dakwaan HINDRAF , khususnya dakwaan kononnya kerajaan Malaysia mengamalkan dasar ’pembersihan etnik’ atau ethnic cleansing di Malaysia. Sudah sampai waktunya untuk kaum India merenung kembali dan menyedari bahawa perhimpunan secara besar-besaran tanpa kelulusan pihak berkuasa bukanlah satu budaya dan amalan masyarakat Malaysia , malah ianya tidak akan menyelesai masalah yang dihadapi oleh kaum India.



Dalam hubungan ini, Kaum India kini terpanggil bersama-sama bertekad meneruskan tradisi berdailog dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dalam menyelesai masalah –masalah yang mengekang peningkatan kemajuan sosio-ekonomi kaum India, malah kebahagiaan generasi kita di masa akan datang.

Tegasnya, tidak dapat dinafikan bahawa kaum India memang mempunyai rintihan terhadap pelaksanaan beberapa dasar kerajaan terutamanya dalam peluang menyertai sektor awam, pengendalian hal-hal kuil oleh majlis-majlis kerajaan tempatan dan kerajaan negeri, peluang melanjutkan pendidikan di institut-institut awam, peluang memperolehi permit dan lesen perniagaan dan sebagainya. Namun, kaum India tetap menolak secara total dakwaan kononnya kerajaan Malaysia mengamalkan dasar ’pembersihan etnik kaum India ’ atau ethnic cleansing di Malaysia.

Sudah sampai waktunya untuk kaum India merenung kembali dan menyedari bahawa perhimpunan secara besar-besaran tanpa kelulusan pihak berkuasa bukanlah satu budaya dan amalan masyarakat Malaysia , malah ianya tidak akan menyelesai masalah yang dihadapi oleh kaum India. Kaum India kini terpanggil bertekad meneruskan tradisi berdailog dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dalam menyelesai masalah –masalah yang mengekang peningkatan kemajuan sosio-ekonomi kaum India dalam menjamin keamanan dalam negara , malah kebahagiaan generasi kita di masa-masa akan datang.



Dalam pada itu , kaum India percaya bahawa kerajaan kepimpinan Pak Lah tidak akan mengabaikan tanggungjawab menterjemah prinsip-prinsip RUKUNEGARA dan Pendekatan Islam Hadhari , yang menjadi pedoman hidup rakyat Malaysia, dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan supaya rakyat berbilang kaum dapat menghayati Malaysia sebagai sebuah negara yang adil kepada semua kaum.

1 comment:

Monitor LCD said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Monitor de LCD, I hope you enjoy. The address is http://monitor-de-lcd.blogspot.com. A hug.