Saturday, July 21, 2007

Kolokium Kemerdekaan

Saya sempat hadir Kolokium Kemerdekaan Malaysia Ke-50 bertajuk "Cabaran Masa Depan" di Pusat Aktiviti Kebudayaan,Universiti Islam Antara Bangsa Malaysia pada hari ini, 21.7.07.

Apabila saya meneliti ucapan dan pandangan yang dikemukakan oleh para ahli panel kolokium tersebut yang kebanyakannya terdiri daripada ahli-ahli UMNO ataupun penyokong BN , didapati keseluruhan ucapannya masih memfokuskan kepada isu kuasa politik 'kaum Melayu' , malah seorang penceramah membuat kesimpulan bahawa kaum Melayu telah dan akan terus 'bertindak' sekiranya mereka merasa kuasa politik mereka tergugat.

Saya tidak hairan dengan kenyataan tersebut kerana ahli-ahli politik di Malaysia masih menggunakan isu kauman sebagai platform dalam perjuangan politik mereka.Namun, seorang pensyarah popular yang terdiri daripada kaum Cina meluahkan fikiran beliau bahawa kaum Melayu di Malaysia tidak perlu bimbang terhadap masa hadapan mereka. Kuasa politik kaum Melayu tidak tergugat kerana 2/3 daripada ahli-ahli Parlimen di Malaysia , Institusi yang menggubal perundangan, adalah terdiri daripada kaum Melayu! Sesungguhnya, itulah kebenaran dan realiti politik Malaysia. Kaum Melayu tidak perlu bimbang terhadap masa hadapan mereka,malah hanya perlu mengurangkan polemik politik berdasarkan agama diantara sesama mereka supaya negara ini terus selamat dan maju.

Dalam pada itu, saya merasa dukacita dan kecewa sedikit kerana kebanyakan ahli panelnya adalah terdiri daripada orang Melayu yang pro UMNO dan MIC. Apa salahnya menjemput ahli panel daripada pelbagai parti politik, termasuk parti MCA,Gerakan,PAS dan DAP, supaya kita dapat satu 'overview ' yang menyeluruh terhadap landskap politik masa hadapan , yang bersesuaian dengan tema kolokium tersebut.

Saya juga amat kecewa apabila melihat tahap kematangan pemikiran para generasi muda secara amnya dan pelajar-pelajar Universiti zaman ini secara khususnya dalam konteks politik di Malaysia. Saya terkejut apabila melihat pelajar-pelajar yang saya temui kurang mengetahui , malah kurang menghayati perjuangan politik yang berunsurkan masyarakat majmuk,malah lebih memfokuskan kepada perkara-perkara hiburan.Trend ini amat membimbangkan kerana mereka adalah pelapis pemimpin negara ini di masa hadapan.

Justeru itu, saya percaya seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang supaya generasi muda menghayati kemerdekaan adalah amat sesuai dalam konteks zaman ini. Saya berharap seruan tersebut harus ditujukan kepada bilangan besar ahli-ahli politik di Malaysia termasuk parti pemerintah dan pembangkang kerana mereka juga didapati sudah lupa sejarah kemerdekaan negara yang tercinta ini.

No comments: