1. APAKAH PERMASALAHAN DENGAN NOVEL INTERLOK?
• Novel Interlok, karya Sasterawan Negara, Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain, dipilih oleh Kementerian Pelajaran sebagai teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) untuk Tingkatan 5 di Zon 2, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan .
2. KENAPA MASYARAKAT INDIA TIDAK PUAS HATI DENGAN NOVEL INTERLOK?
• Penggunaan novel Interlok di sekolah-sekolah telah menimbulkan bantahan daripada masyarakat India. Kumpulan-kumpulan (NGO) yang mewakili kepentingan masyarakat India termasuk MIC melahirkan perasaan tidak puas hati malah meminta Kementerian Pelajaran membetulkan beberapa frasa dan istilah-istilah dalam novel tersebut yang dianggap menyinggung perasaan mereka.
• Bantahan kaum India adalah berkisar tentang penggunaan satu istilah tertentu dalam novel tersebut yang didakwa bersifat rasis dan menyinggung perasaan kaum India.
• Penulis novel Interlok teIah menggunakan istilah yang umumnya dirujuk kepada satu kumpulan masyarakat atau kasta yang dianggap rendahnya martabat dalam struktur sosial masyarakat India di negara India pada satu ketika dahulu. Penggunaan istilah tersebut dalam novel Interlok dilihat sebagai satu penghinaan kepada kaum India.
3. APAKAH PANDANGAN LAIN-LAIN KAUM TERHADAP PENGGUNAAN NOVEL INTERLOK DI SEKOLAH SEBAGAI TEKS KOMSAS?
• Pelbagai kumpulan masyarakat, termasuk ahli akademik, sasterawan, persatuan penulis dan orang awam juga turut menimbulkan desakan supaya novel Interlok dikekalkan sebagai teks KOMSAS.
• Mereka menegaskan bahawa Interlok tidak bersifat rasis malah mengandungi banyak nilai-nilai positif yang menjurus ke arah perpaduan dan keharmonian kaum.
• Dengan ini timbul kontroversi yang melibatkan dua kumpulan masyarakat mendesak kerajaan membuat keputusan yang berbeza-beza terhadap novel Interlok.
4. APAKAH TINDAKAN KERAJAAN TERHADAP BANTAHAN KAUM INDIA TERHADAP NOVEL INTERLOK?
• Menyedari bantahan masyarakat India terhadap penggunaan istilah dan frasa tertentu dalam novel Interlok, maka kerajaan dengan cepat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menyelesai perasaan tidak puas hati mereka terhadap novel tersebut.
• Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan pelbagai pihak untuk menambahbaik sistem pendidikan negara.
• Semangat musyawarah diutamakan dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu yang timbul di samping memastikan sebarang tindakan yang dibuat dilaksanakan secara berhati-hati sebagai ’menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak’.
• Kementerian mengambil langkah yang amat teliti supaya sebarang keputusan yang dibuat adalah rasional, munasabah dan dapat diterima oleh semua pihak.
5. APAKAH KRITERIA YANG DITETAPKAN UNTUK MEMILIH SEBUAH KARYA PENULISAN SUPAYA DIJADIKAN TEKS KOMPONAN SASTERA DI SEKOLAH?
• Umumnya, sebuah karya novel dipilih berasaskan kriteria seperti berikut:
• karya asal yang ditulis dalam bahasa Melayu,
• menepati Kurikulum Bahasa Malaysia,
• mendukung nilai-nilai murni,
• menimbulkan kesan nasionalisme yang kuat dan mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.
• keutamaan diberikan kepada hasil karya Sasterawan Negara, pemenang anugerah S.E.A. Write Award dan pemenang hadiah Sayembara Sastera.
• Novel Interlok adalah satu karya sastera yang telah melalui proses pemilihan dan penyaringan yang ketat sebelum dipilih sebagai teks Komponen Sastera dalam Matapelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 5.
• Novel ini telah dinilai oleh enam (6) jawatankuasa di peringkat Kementerian, yang ahli-ahlinya terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai disiplin ilmu. Ini adalah untuk memastikan Interlok memenuhi kriteria-kriteria yang telah ditetapkan seperti tersebut dberikut: iatas.
6. APAKAH PERJALANAN CERITA DAN SIAPAKAH WATAK- WATAK UTAMA DALAM NOVEL INTERLOK ?
• Novel Interlok adalah satu novel sastera yang merakaman sejarah dalam bentuk fiksyen. Interlok memaparkan kegigihan watak-watak dalam keluarga berketurunan Melayu, Cina dan India di zaman sebelum merdeka untuk mengubah nasib diri dan menjadi manusia yang bermaruah dan bermartabat.
• Watak utama dalam Novel Interlok adalah 3 watak iaitu Cing Huat (Cina), Maniam(India) dan Seman (Melayu) yang terdiri daripada pelbagai asal usul dan latarbelakang dan didapati hidup aman dan damai malah berkerjasama antara satu dengan lain dalam majukan diri dan keluarganya.
• Watak Cing Huat digambarkan sebagai seorang anak muda Tionghua yang bekerja keras meneruskan perniagaan bapanya sehingga menjadi kaya raya dan dihormati oleh masyarakat.
• Manakala, watak Maniam pula dipaparkan sebagai seorang buruh India yang rajin berusaha sehingga akhirnya berjaya menjadi tandil estet. Malah melalui pendidikan, anak Maniam iaitu Ramakrisnan berjaya menjadi inspektor polis.
• Watak Seman pula ditonjolkan sebagai anak seorang petani Melayu yang bekerja kuat untuk mengangkat nilai dirinya agar menjadi insan yang berjaya dan dihormati oleh penduduk desanya.
7. APAKAH NILAI-NILAI DAN PENGAJARAN YANG DITONJOLKAN DALAM NOVEL INTERLOK?
• Interlok adalah sebuah karya kreatif yang menggabungkan fakta sejarah sosial dan imaginasi pengarang. Melalui adunan realiti dan imaginasi, novel ini cuba memaparkan suatu bentuk kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu sebelum merdeka.
• Penceritaan tentang kegigihan watak-watak pelbagai kaum dalam novel ini untuk mengubah nasib diri memberi pengajaran kepada murid bahawa sesiapa sahaja, tanpa mengira perbezaan kaum, warna kulit dan agama, boleh berjaya dalam kehidupan sekiranya mereka gigih berusaha.
• Novel ini juga sarat dengan nilai-nilai perpaduan kaum. Aspek kerjasama dan hormat menghormati antara kaum ditonjolkan dengan nyata melalui persahabatan Maniam dan Musa.
• Dalam novel ini, Maniam dipaparkan sebagai seorang yang sentiasa mengenang jasa sahabatnya Musa yang pernah menyelamatkan nyawanya, walaupun Musa telah lama meninggal dunia. Sebagai membalas jasa Musa, Maniam telah menolong anak Musa, iaitu Seman, untuk mendapatkan pekerjaan di estet. Malah, sebagai penghormatan kepada Maniam, Seman memanggil Maniam dengan panggilan tuan.
• Rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan agama dan kaum, berpeluang memajukan diri sekiranya berusaha bersungguh-sungguh.
• Semangat kerjasama anatara kaum dan cintakan negara ditonjolkan sepanjang perjalanan cerita dalam novel ini. Malah, penulis menggambarkan watak-watak dari ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India bersama-sama menyambut kemerdekaan negara dalam suasana penuh pengharapan dan kegembiraan.
8. KRONOLOGI TINDAKAN KERAJAAN MENCARI PENYELESAIAN KEPADA ISU BANTAHAN KAUM INDIA TERHADAP NOVEL INTERLOK?
• Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari 2011 telah memutuskan supaya Kementerian Pelajaran mengadakan dialog dengan wakil NGO India bagi membincangkan kontroversi novel Interlok dan mencari jalan penyelesaian.
• Parti MIC telah mencadangkan beberapa nama untuk mewakili NGO India dan kesemua mereka telah dijemput untuk berdialog dengan pihak Kementerian pada 18 Januari 2011.
• Kumpulan yang menyokong penggunaan novel Interlok juga dijemput menyertai dialog dengan Kementerian Pelajaran.Hasil dialog seterusnya telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri
• Apakah ketetapan Jemaah Menteri terhadap keputusan majlis- dialog yang diadakan dengan kumpulan-kumpulan yang mewakili pelbagai kepentingan?
• Jemaah Menteri telah bersetuju supaya:
i) Novel ini terus digunapakai sehingga satu pendekatan yang komprehensif dicapai dalam menangani isu berbangkit;
ii) Mengarahkan penubuhan satu panel bebas untuk mengkaji kandungan novel;
iii) Mendapatkan pandangan daripada penulis; dan
iv) Mencadangkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut.
9. APAKAH PANEL BEBAS DI TUBUHKAN UNTUK MENGKAJI KANDUNGAN NOVEL INTERLOK?
• Berdasarkan keputusan Jemaah Menteri, Panel Bebas ditubuhkan untuk mengkaji dan meneliti bahagian yang dianggap sensitif kepada masyarakat India dan memperakukan kepada kerajaan bentuk suntingan yang sesuai tanpa menjejaskan jalan cerita dan mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya.
10. SIAPAKAH AHLI-AHLI PANEL BEBAS YANG DILANTIK?
• Ahli-ahli panel bebas adalah dilantik daripada orang-orang perseorangan yang mempunyai kepakaran dalam bidang bahasa dan sastera termasuk tiga (3) wakil masyarakat India dan seorang wakil penulis.
Pengerusi Panel Bebas:
(i) Y.Bhg Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia
Ahli-Ahli :
(ii) Y.Bhg Datin Siti Saroja binti Basri, wakil penulis;
(iii) Y.Bhg Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan, Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional;
(iv) Y.Bhg Datuk Hj. Termuzi Hj. Abdul Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka;
(v) Y.Bhg Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia;
(vi) Y.Bhg. Prof. Dr. NS Rajendran, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki di Universiti Pendidikan Sultan Idris;
(vii) Encik G. Krishnabahawan, pendidik; dan
(viii) Encik Uthaya Sankar penulis bebas.
11. BERAPA KERAP PANEL BEBAS BERSIDANG UNTUK MENCARI PENYELESAIAN DAN APAKAH CADANGANNYA?
• Panel Bebas ini telah bersidang sebanyak empat (4) kali dan mengadakan dua (2) pertemuan dengan Menteri Pelajaran.
• Pada mesyuarat kali ke-3, Panel Bebas telah mencapai kata sepakat untuk menggugurkan frasa ” istilah kasta’ yang menyentuh perasaan, malah menimbulkan kemarahan kaum India. Istilah tersebut dicadang digantikan dengan frasa ”golongan yang sama”. Cadangan untuk menggantikan frasa tersebut telah dipersetujui oleh penulis sebagai pemegang hakcipta.
• Wakil masyarakat India dalam Panel Bebas mengemukakan kepada kerajaan sebanyak 106 bentuk cadangan pindaan yang meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan fakta, bahasa dan tatabahasa, termasuk koma, noktah dan tanda soal.
• Cadangan pindaan ini tiada kaitan dengan isu pokok, iaitu istilah yang merujuk kepada satu kasta tertentu.
• Namun, panel bebas telah diminta oleh Menteri Pelajaran untuk meneliti satu persatu 106 cadangan pindaan yang dikemukakan dan mengenalpasti perkara-perkara yang benar-benar menyentuh sensitiviti masyarakat India sahaja dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.
• Panel Bebas telah sekali lagi bermesyuarat pada 23 Mac 2011 untuk meneliti kesemua cadangan ini.
• Hasilnya, Panel Bebas mendapati hanya 19 perkara sahaja yang boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India. Ini bermakna, sebanyak 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok.
12. APAKAH KEPUTUSAN TERAKHIR PANEL BEBAS DAN KERAJAAN TERHADAP NOVEL INTERLOK?
• Isu pokok yang menimbulkan bantahan kaum India iaiatu istilah yang merujuk kepada satu kasta tertentu yang dianggap menyentuh perasaan, malah menimbulkan kemarahan kaum India dipersetujui digantikan dengan frasa ”golongan yang sama”.
• Semua ahli panel, termasuk wakil masyarakat India, telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit untuk membuat suntingan yang wajar kepada novel ini dalam cetakan akan datang.
13. APAKAH 19 PERKARA YANG DIPERSETUJUI UNTUK DISUNTING SEMULA DALAM NOVEL INTERLOK?
• Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga (3) daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu dalam novelnya.
• Tiga (3) perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai.
• Panel Bebas, dengan persetujuan wakil masyarakat India, memutuskan bahawa ketiga-tiganya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat India.
• Daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh (7) perkara telah dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan errata di dalam novel ini bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India. Manakala enam (6) perkara lain juga telah dapat diselesaikan kerana penulis, sekali lagi, dengan kemurahan dan kejernihan hati beliau, telah bersetuju untuk meminda perkataan ”tuhan” kepada perkataan ”dewa” dan menggugurkan frasa ”orang berkulit hitam” daripada novel ini.
14. APAKAH USAHA KERAJAAN UNTUK MENJELASKAN BEBERAPA FRASA DAN KONSEP DALAM NOVEL INTERLOK DI MASA DEPAN?
• Kementerian Plajaran bersetuju menyediakan satu glosari untuk memperjelaskan beberapa frasa dan konsep yang terkandung dalam novel Interlok bagi memudahkan murid memahami teks dan konteks novel yang memaparkan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.
15. APAKAH PERSELISIHAN TERHADAP NOVEL INTERLOK DIANGGAP SELESAI?
• Dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada Kerajaan, isu ini dianggap telah selesai dengan baik melalui meja rundingan dengan semangat setia kawan dan harmoni. Penyelesaian kontroversi ini adalah satu testimoni yang amat nyata bahawa di negara kita tidak ada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja perundingan.
• Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit manapun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar.
• Episod Interlok ini menjadi bukti kepada kita betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat menghormati antara kaum selaras dengan Gagasan 1Malaysia terus subur di negara kita.
HARAPAN KERAJAAN
• Adalah harapan kerajaan agar rakyat dapat menerima keputusan kerajaan yang adil dan munasabah dalam isu novel Interlok. Penyelesaian Isu Novel Interlok dengan baik adalah satu testimoni yang amat nyata bahawa sebarang isu yang timbul dikalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama boleh diselesai melalui meja rundingan.Ketidakpuasan hati kaum India terhadap Novel Interlok akhirnya dapat diselesai dengan baik dan mesra.Ini jelas membuktikan kerajaan kepimpinan Najib Tun Razak amat prihatin terhadap sensitiviti setiap kaum selaras dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
salam admin ..
tengs for this article..
mmbantu dalam my assingmnt :)
Post a Comment