Wednesday, February 24, 2016

APAKAH BN SUKAR MENANG DALAM PRU14 MERUPAKAN SATU PARADOKSAL?


Rakyat Malaysia saban hari ditabur dengan pelbagai  dakwaan dan andaian oleh media sosial yang dikuasai oleh parti pembangkang malah media-media ‘online’ dan tabloid luar negara yang condong memihak parti-parti pembangkang  kononnya  Malaysia hampir muflis  malah  mendakwa BN sukar  mencapai kemenangan dalam  Pilihan Raya Yang Ke 14 (PRU14). Ada yang meramal kononnya  BN akan menjunam dalam PRU14. 

Persoalannya  apakah benar dakwaan dan andaian pihak yang meramal BN akan menjuman dalam PRU14  kerana  kerajaan semasa, dibawah kepimpinan Najib,  gagal mengurus  kewangan negara dengan  baik malah sokongan rakyat  kian merosot kerana negara berhadapan dengan  pelbagai masalah ekonomi ?
Pada hemat saya, walaupun terlalu awal untuk membuat sebarang andaian terhadap keputusan PRU14, BN dijangka akan mempertahankan  kedudukannya  dalam PRU14 malah akan terus  berkuasa memerintah  negara ini dengan mencapai kemenangan. BN dijangka menang kerana majoriti pengundi  kini mula menikmati hasil dasar-dasar transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan Najib. Lebih-lebih lagi pengundi India yang membantu  mencetuskan ‘tsunami’ politik dalam PRU12   pada tahun 2008  dijangka  akan beransur-ansur balik memihak BN dalam PRU14.

Menurut kajian pola pengundian  pilihan raya umum yang ke 12 pada tahun 2008 (PRU12), hampir 85 %  pengundi India dikesan  memihak parti pembangkang  kerana mereka dilaporkan terluka hati atas tindakan pihak berkuasa (Majlis Perbandaran Shah Alam) roboh sebuah  Kuil Hindu  di Kampong Jawa, Shah Alam, Selangor  beberapa hari sebelum masyarakat Hindu menyambut hari ‘Deepavali’. Peristiwa roboh kuil ini telah menimbulkan   kemarahahan dikalangan  sebahagian besar masyarakat India, tanpa mengira perbezaan ideologi politik dan agama, sama ada  beragama  Hindu atau Kristian.  Pihak pembangkang mengeksploitkan peristiwa tersebut untuk menabur sentimen masyarakat India membenci BN.

Namun, apabila Najib ambil alih kepimpinan  kerajaan pada tahun 2009,  sentimen masyarakat India membenci BN dikesan  berkurangan kerana BN memperolehi hampir 45 peratus sokongan pengundi India. Peralihan dalam sokongan pengundi India daripada parti pembangkang kepada BN adalah kerana keikhlasan dan kejujuran yang ditunjukkan oleh kepimpinan kerajaan Najib terhadap pembangunan kaum India.  

Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Najib untuk membantu dan  meningkatkan taraf hidup masyarakat India  adalah seperti penubuhan  Pembentukan Jawatankuasa Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dan menubuhkan beberapa Unit khas (hampir tujuh unit ) di Jabatan Perdana Menteri untuk merancang, melaksana dan mengawasi program-program pembangunan masyarakat India. Antaranya,  penubuhan  Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Masyarakat India (SITF) pada tahun 2010 untuk memfokus kepada isu dokumen pengenalan diri seperti kewarganegaraan, kad pengenalan, sijil kelahiran dan sebagainya,   Sekretariat Khas Untuk memperkasakan usahawan India  (SEED), Skim  Pembangunan Usahawan Masyarakat India  (SPUMI), Unit Khas Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (SEDIC) Unit Pembangunan Sekolah Tamil dan  Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah- Sekolah Tamil. 

Selain itu, landskap politik  pembangkang  juga didapati dilanda dengan pelbagai masalah dalaman, kucar-kacir, rapuh malah hilang hala tuju sejak PRU13, khususnya sejak  DS Anwar Ibrahim tidak lagi menjadi nakhoda parti pembangkang. Kedudukan kemelut dalaman parti pembangkang telah mendorong sebahagian besar pengundi India  yang menyokong pembangkang  menjauhi daripada parti pembangkang.  Manakala, perpecahan  antara PAS dan DAP atas dasar Hudud  didapati mengakhiri kerjasama   Thahaluf Siyasi  antara PAS dan DAP. Akhir-akhir ini, PAS pula didapati pecah-belah kerana beberapa pemimpin utama keluar daripada parti PAS. Pemimpin yang ditolak oleh majoriti ahli PAS dalam pemilihan parti telah menubuhkan  parti politik serpihan yang dikenali sebagai  ‘Parti  Amanah Negara’  (Amanah). Parti Amanah buat pengumuman akan berkerjasama dengan DAP untuk menumbangkan PAS sekaligus BN. Media juga melaporkan bahawa baru-baru ini kepimpinan PKR tidak senang hati dengan  DAP di negeri Pulau Pinang kerana kepimpinan DAP Pulau Pinang  melucutkan jawatan beberapa  wakil rakyat PKR  daripada  jawatan mereka dalam badan-badan berkanun kerajaan negeri Pulau Pinang. Tindakan DAP ini dijangka akan menimbulkan berbalahan antara PKR dan DAP tidak lama lagi.  Perkembangan terakhir ini jelas menunjukkan kerjasama antara parti-parti pembangkang yang terbentuk pada tahun 2008 kian rapuh malah akan terus mengkuburkan pakatan pembangkang. 
  
Senario politik tersebut menimbulkan pelbagai andaian dalam menghadapi  PRU14. Antaranya, ada  kemungkinan besar wujud pertandingan tiga penjuru di mana calon BN akan bertembung dengan calon PAS dan calon yang mewakili pembangkang (Parti Gabungan antara DAP,PKR dan Amanah). Sekiranya ini berlaku, penyokong PAS yang menyokong calon DAP dalam PRU12 DAN 13 akan menolak DAP..  Pengundi yang menyokong DAP pula, sebahagian besarnya yang terdiri daripada pengundi Cina, dijangka  akan  menolak PAS dan mengundi calon DAP. Kedudukan ini  sudah pasti akan menguntungkan BN kerana undi pembangkang berpecah belah manakala BN dijangka akan meraih sokongan sepadu daripada  penyokong setia BN  yang terdiri daripada parti-parti komponan BN, termasuk UMNO,MIC, Gerakan, MCA, MyPPP, dan parti-parti yang  menyokong BN seperti IPF, KIMMA dan Makkal Sakthi. 

Sesungguhnya,  undi India dijangka akan menentukan menang-kalah seorang calon dalam PRU14.  Pengundi India dijangka bersama BN kerana keprihatinan Najib terhadap kebajikan kaum India dikesan amat disanjung  oleh Masyarakat India malah Presiden MIC , DS S.Subramaniam mensifatkan Najib sebagai seorang perdana menteri  yang   luar biasa dan banyak berjasa kepada kaum India. Najib dilihat sebagai seorang perdana menteri yang banyak membantu kaum India dalam menyelesaikan pelbagai  isu dan masalah yang bertimbun  sebelum era beliau. Faktor ini dijangka akan mendorong pengundi India yang bertabur  dalam 63 kawasan parlimen di seluruh negara menyokong BN dalam PRU14.

Walaupun Najib digempar- gemburkan dalam media sosial kononya beliau menghadapi pelbagai masalah dan tidak mampu menerajui BN menghadapi PRU14,  tetapi dari segi realitinya  beliau masih dapat sokongan hebat dalam partinya malah  imej beliau tersohor dikalangan pemimpin dan pelabur asing.  Pelabur-pelabur asing masih yakin terhadap  kepimpinan beliau malah bersedia terus melabur dalam negara Malaysia. Kapten-kapten  industri di Amerika Syarikat didapati terharu dengan  kebolehan dan kebijaksanaan Najib mengurus ekonomi negara. Malah mereka   menzahirkan sokongan mereka kepada Najib semasa Najib menghadiri  Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN  di California baru-baru ini.

Sehubungan ini, rakyat  perlu sedar bahawa ekonomi Malaysia masih  kukuh dan mantap berbanding dengan kedudukan ekonomi lain-lain negara. Kerajaan juga berjaya kembalikan kekuatan  nilai ringgit Malaysia berbanding dengan dolar Amerika kerana ringgit dilihat terus kukuh di Asia berbanding dengan dolar Amerika. Matawang Cina dan beberapa negara lain dikesan terus merosot. Bank Dunia dan institusi-institusi penarafan ekonomi dan kewangan antarabangsa juga  meramal positif terhadap kemampuan dan kebolehan kerajaan Malaysia mengurus risiko fiskal dalam suasana ekonomi global yang tidak tentu. Kenaikan harga barang adalah merupakan satu fenomena dunia berdasarkan teori ekonomi permintaan dan penawaran (demand & supply).  Namun, harga barang-barang keperluan di Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan harga barang di lain-lain negara. Faktor ini menyebabkan rakyat Malaysia mampu membeli barang keperluan harian untuk menyara hidup mereka tanpa sebarang masalah .


Sesungguhnya, laporan dan hujah-hujah yang disiarkan  dalam media asing  terhadap masa depan ekonomi negara sekaligus  BN  didapati kurang  mencerminkan ‘realiti’ semasa  malah lebih merupakan satu andaian atau  spekulasi. Malah tidaklah  keterlaluan sekiranya buat kesimpulan bahawa  andaian mereka terhadap ekonomi negara dan kekuatan BN  adalah lebih bersifat bertentangan dengan realiti semasa kerana  BN  masih berpotensi  dan mampu menang  dalam PRU14  atas prestasi ekonomi yang cemerlang. Malah berdasarkan ‘numbers” dalam pencaturan politik peluang BN menang adalah lebih cerah. Oleh itu, apakah rakyat Malaysia kini sudah hilang kewarasan dan kepintaran untuk membezakan antara  realiti dan rekaan ? Apakah rakyat Malaysia  wajar membiarkan mereka digunda-gulana dan dihanyut oleh gelombang pembohongan dan fitnah yang reka dan disebarkan berulang-ulangkali oleh pihak-pihak tertentu yang  berkomplot dengan  kuasa asing ?  Rakyat  Malaysia secara amnya dan pengundi  secara khususnya perlu bijak dalam membuat percatutaran politik  dan elak daripada terpengaruh atau ‘termakan’  dengan dakyah pihak-pihak  tertentu yang didorong oleh agenda politik mereka.

No comments: