Wednesday, November 26, 2008

Dilema dan Harapan Ibu Bapa Pelajar-Pelajar SRJK(T)

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil SRJK(T) adalah warisan penjajah British di Malaysia.Kemudahan untuk membelajari bahasa ibunda Tamil atau Cina adalah termaktub dalam ‘kontrak sosial’ yang tercapai antara pemimpin-pemimpin pelbagai kaum dalam mencapai kemerdekaan negara ini.

Sejarah menunjukkan bahawa pada tahun 1957, sejumlah 888 sekolah Tamil wujud di Persekutuan Tanah Melayu apabila negara ini mencapai kemerdekaan daripada belunggu penjajah. Kebanyakan sekolah-sekolah Tamil adalah terletak di ladang-ladang getah kepunyaan syarikat British.Namun, bilangan itu telah berkurangan menjelang tahun 2000. Pada tahun 2008, hanya 523 buah sekolah Tamil sahaja didapati wujud di Malaysia. Pelbagai alasan diberikan oleh pelbagai pihak untuk kekurangan bilangan sekolah Tamil. Pihak kerajaan melaporkan bahawa kekurangan sambutan daripada ibu bapa terhadap sekolah Tamil merupakan faktor utama yang menyebabkan menyusut jumlah sekolah Tamil. Tetapi aktivis dalam masyarakat Tamil pula menafikan alasan tersebut,malah mendakwa bahawa mobiliti dalam masyarakat pekerja ladang akibat dasar pembangunan negara (estate fragmentation ), kemerosotan kualiti pengajaran, kekurangan kemudahan pengajaran dalam sekolah dan kedudukan buruk bangunan sekolah merupakan faktor-faktor utama yang menyebabkan ibu bapa menolak sekolah-sekolah Tamil.

Namun demikian, tidak dapat menafikan bahawa sejak merdeka, kerajaan Barisan Nasional, tidak abaikan tanggungjawabnya dalam menyediakan peluang kepada pelajar-pelajar Tamil untuk membelajari Bahasa Tamil, malah mengekalkan aliran SRJK(T) supaya pelajar-pelajar Tamil dapat mengikuti pendidikannya di peringkat rendah dalam bahasa ibunda.

Di samping itu, kerajaan persekutuan di bawah pentadbiran Barisan Nasional telah memperuntukan berjuta-juta ringgit untuk membina dan membaiki SRJK(T) yang uzur di seluruh Malaysia. Walaupun peruntukan yang disediakan itu didakwa tidak mencukupi, kerajaan terus mengambil berat untuk menyediakan dana bantuan kewangan kepada SRJK(T) setiap kali Rancangan Malaysia Lima Tahun disediakan . Bantuan kewangan kerajaan disalurkan dalam dua bentuk iaitu bantuan Modal dan bantuan penuh kepada SRJK(T).

Sehubungan ini, baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak selaku menteri kewangan, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 50 juta untuk membina,membaiki dan mempertingkatkan bangunan-bangunan SRJK(T) yang uzur di seluruh Malaysia .

Sementara itu, menurut laporan media , kerajaan –kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat juga telah meluluskan peruntukan yang agak besar untuk tujuan yang sama di negeri masing-masing.

Sebagai contoh, media melaporkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang telah meluluskan 1.5 juta untuk SRJK(T) daripada RM 8.5 juta yang diperuntukan untuk sekolah-sekolah rendah di negeri Pulau Pinang. Negeri Pulau Pinang mempunyai 28 buah SRJK(T).Manakala, kerajaan negeri Selangor pula telah meluluskan RM 4 juta untuk 97 buah SRJK(T) di negeri Selangor.

Kaum India menyambut baik initiatif kerajaan persekutuan dan negeri-negeri yang berkenaan.Namun, apa yang menjadi kerumitan dan sungutan dikalangan ibu bapa pelajar-pelajar SRJK(T) adalah bahawa peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan tersebut tidak disalurkan kepada sekolah-sekolah yang sangat memerlukan bantuan kewangan. Malah, terdapat gurubesar dan pentadbiran SRJK(T) di negeri-negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak berusaha ,malah menolak bantuan kewangan yang disediakan oleh kerajan negeri-negeri dibawah Pakatan Rakyat.

Sikap guru besar dan pentadbiran SRJK(T) sedemikian di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat amat dikutuk oleh ibu bapa pelajar-pelajar Tamil, malah menimbulkan kemarahan di kalangan kaum India terhadap pemerintah.Malah , terdapat ahli-ahli politik parti pembangkang mendakwa bahawa kerajaan Barisan Nasional menghalang gurubesar sekolah Tamil menerima bantuan daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dakwaan tersebut menimbulkan persepsi bahawa Barisan Nasional lebih mementingkan kepentingan politik daripada kepentingan pendidikan pelajar-pelajar Tamil. Persepsi sedemikian mampu mengurangkan populariti BN di negeri-negeri tersebut dalam jangka masa panjang. Apakah dakwaan tersebut itu benar?

Sungguhpun peruntukan yang disediakan untuk SRJK(T) oleh kerajaan , samaada kerajaan persekutuan ataupun kerajaan negeri, adalah wang rakyat yang dikutip daripada hasil cukai pendapat rakyat.Wang tersebut adalah wang rakyat dan rakyat yang memerlukan bantuan harus dibenarkan menikmati bantuan tersebut. Perbezaan kefahaman politik antara parti-parti politik yang bertanding untuk berkuasa memerintah tidak harus menjadi batu halang kepada pelajar-pelajar Tamil yang amat memerlukan bantuan dan sokongan.

Masyarakat Tamil sering didakwa tertinggal dalam arus pembangunan negara,malah tidak disediakan sebarang dasar ekonomi bersifat ‘affirmatif’ atau khas untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup mereka.Dengan itu, kerajaan persekutan dan negeri di bawah Pakatan Rakyat perlu mememikir hal ini dan bersikap lebih mementingkan pendidikan pelajar-pelajar SRJK(T) kerana pendidikan merupakan satu-satunya aset utama bagi pelajar-pelajar Tamil dalam proses meningkatkan martabat mereka dalam masyarakat ,malah selaras dengan dasar peningkatan human capital yang diajukan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri.

Sekiranya kerajaan persekutuan dan negeri tidak bertambil hadapan untuk mengatasi kebuntuan dalam menyampaikan bantuan kewangan yang diperuntukkan itu kepada SRJK(T) tanpa berlengah-lengah seperti di harapkan oleh ibubapa, media melaporkan bahawa ibu bapa pelajar-pelajar Tamil tidak akan berdiam diri seperti zaman dahulu,malah akan melancarkan protes secara besar-besaran terhadap pentadbiran SRJK( T) yang menolak bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Tindakan tersebut mampu menguriskan hati sebahagian besar kaum India di Malaysia.

Justeru itu, adalah diharapkan bahawa kerajaan persekutuan dibawah pimpinan Barisan Nasional bijak mencari jalan untuk menyelesai dilema SRJK(T) tersebut dengan segera supaya dapat mengurangkan perasaan kemarahan yang terpendam dikalangan masyarakat Tamil terhadap kerajaan BN di masa-masa akan datang.

7 comments:

bungaraya said...

Saya ingin bertanya soalan berikut,
Benarkah SRJK(T) dan SRJK(C) termasuk dalam perjanjian Kontrak Sosial?
Kalau tak silap saya KEUTAMAAN DAN GALAKAN HENDAKLAH DIBERIKAN KEPADA BAHASA MELAYU TANPA MENGHALANG BAHASA-BAHASA LAIN DRP DIGUNAKAN. Dan tidak ada kenyataanpun bahasa Tamil dan Cina untuk medium disekolah-sekolah di Malaysia. Cuma kerajaan tidak menghalang penggunaannya sahaja. Bukan merupakan tanggungjawab kerajaan untuk membantu membina SRJK kedua-dua kaum tersebut. Membantu menyediakan peruntukkan membina sekolah-sekolah tersebut adalah sama dengan menggalakkan penggunaan bahasa tersebut di Malaysia dengan berleluasa. Ini membawa makna status bahasa tersebut sama dengan status bahasa kebangsaan Malaysia.

M.Perry said...

bungaraya,Terimakasih atas prihatinan terhadap perkara ini dan soalanpenting yang dikemukan.

Berdasarkan kajian saya dalam buku-buku sejarah dan bahan-bahan di Arkib,antara ciri-ciri penting yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin berbilang kaum dalam mencapai kemerdekaan bagi negara ini adalah seperti berikut:

• Kedudukan Raja-Raja
Melayu,
• Islam sebagai Agama
Persekutuan dan hak-hak
yang sah bagi kaum-kaum
bukan Melayu, termasuklah
hak kerakyatan yang
merangkumi hak-hak
politik, ekonomi, budaya
dan agama.
• Kedudukan istimewa kaum
Melayu
• Bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan
• Islam sebagai agama resmi
Persekutuan
• Peruntukan mengenai Tanah
simpanan Melayu
• Ketua kerajaan bagi 9
‘negeri-negeri Melayu’
adalah terdiri daripada
seorang warga Melayu-Islam
• Warga bukan Islam bebas
mengamal agama-agama
masing-masing
• Kaum bukan Melayu bebas
untuk mempelajari bahasa
ibunda Cina dan Tamil

Untuk makluman, Bahasa Melayu telah dipersetujui dan diakui status bahasa kebangsaan oleh semua kaum.Sebagai balasannya (quid pro quo) warga bukan Melayu pula tidak dihalang mempelajari bahasa ibundanya (Cina dan Tamil).Persetujuan ini merupakan pemikiran bijak dan tolak ansur yang diamalkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan. Kalau kerajaan BN tidak prihatin dan mendukung kontrak sosial, sudah lama SRJK(T) dan SRJK(C)di tutup di Malaysia seperti di Indonesia atau Thailand.

bungaraya said...

Salam Free2talk2me,
Anda seorang yang kuat mentalaah ilmu. Ini perlu mendapat penghormatan dari saya. Saya lantas kagum dengan manusia seperti anda. Untuk sekadar berbicara, tidak salahkan.
Penjelasan yang anda berikan sudah sedia aku fahami. Anyhow I Thanks to u. Cuba baca baik-baik adakah arahan atau perjanjian dimana kerajaan dikehendaki untuk membina SRJK Cina dan Tamil?.
Saya sokong pembinaannya jika mereka bukan kaum spt kacang lupakan kulit. Saya tidak nak membaca dengan detail isi kandungan kontrak sosial yang menjelma dalam Perlembagaan itu jika mereka bersyukur dengan pemberian Allah SWT kepada mereka.
Tetapi sekarang mereka memaksa untuk kita membaca berhati-hati isi kandungan Perlembagaan tersebut. Dan malangnya saya tidak terbaca dimana terdapat kandungan yang memberikan makna bahawa adalah merupakan tugas dan tanggungjawab kerjaan untuk menyediakan peruntukkan kewangan dalam pembinaan sekolah SRJK mereka.
Selama ini kerajaan menyediakan peruntukkan atas rasa kesetiakawanan semata. Mereka dari masa kesemasa meminta itu dan ini. Satu ketika dulu mereka minta sebuah Universiti. Semasa Tun Musa menjadi Menteri Pelajaran Malaysia, beliau tidak meluluskan permintaan tersebut. Adakah Tun Musa tidak takut?.

M.Perry said...

Terimakasih bungaraya,

saya terpanggil untuk menjelaskan istilah 'kontrak sosial'dari perspektif Malaysia. Istilah kontrak sosial di Malaysia perlu diteliti dan difahami dari perspektif sejarah terlebih dahulu sebelum membincang mengenai kewujudan SRJK(T) atau SRJK(C) di Malaysia.

Kontark sosial di Malaysia adalah satu persetujuan dan perjanjian antara kaum yang TIDAK BERTULIS mengenai hak dan kepentingan sah kaum masing-masing.Rakyat harus memahami dan menghormati semangat yang mengandungi dalam persetujuan yang tidak bertulis supaya kehidupan setiakawan antara kaum terus berkembang dan berhasil.

Sehubungan ini, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat menyediakan kemudahan-kemudahan untuk rakyat menikmati apa yang di persetujui bersama.

Penyediaan kemudahan asas untuk mempelajari bahasa ibunda merupakan satu tanggungjawab sosial kerajaan. Namun, kaum bukan Melayu minta kerajaan menyediakan Universiti dalam melanjutkan pendidikan dalam bahasa ibunda adalah keterlaluan dan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Dalam pada itu, bungaraya harus sedar bahawa sekiranya rakyat merasa bahawa kerajaan tidak menghormati kontrak sosial yang dipersetuju,maka rakyat bukan sahaja akan menjauhi dari kerajaan malah menolak kerajaan yang gagal menghayati semangat kontrak sosial.

bungaraya said...

Terima kasih Sahabatku.
Perbincangan ini akan menjadi rancak dan mungkin akan menimbulkan sensitiviti kepada kaum lain. Elok kita berhentikan saja. Saya berdoa agar kita dipertemukan suatu ketika nanti. Saya ingin sangat berbicara mengenai ketika kontrak sosil ini dimetri dimana ramai pemimpin kita menangis kerna bersetuju dalam paksa keatas kontrak tersebut.

M.Perry said...

bungaraya...

Kita adalah anak Malaysia jati dan tidak ada masalah membincang dengan open minded mengenai perkara yang berkaitan dengan kepentingan negara.

Saya juga ingin merakamkan jutaan terimakasih kepada bungaraya.. atas minat yang ditunjukkan untuk melayari blog saya yang kurang sempurna.Tolong jangan salah faham niat saya dalam mempertahankan kontrak sosial. Thank You.

mylivingwall.com said...

This is an amazing conversation between your goodself and bungaraya...

Will feature this exemplary civil discourse in our website at http://mylivingwall.com and link our readers back to your blog.

All the best!

http://mylivingwall.com