Wednesday, September 10, 2014

KEBEBASAN BERSUARA ADALAH HAK BERSYARAT BUKAN HAK MUTLAK

Dewasa ini kebebasan bersuara hangat dibincangankan dikalangan ahli-ahli politik dan dikalangan golongan muda,  malah suara sumbang kedengaran disana- sini mendakwa kononnya kerajaan  menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk mendiamkan atau melenyapkan suara rakyat yang dianggap tidak selaras dengan pemikiran politik pemerintah atau kerajaan. Malah badan-badan yang mengaku dirinya sebagai badan yang bertauliah dan arif dalam bidang perundangan juga didapati berlumba-lumba mempertahankan seseorang individu atau kumpulan yang didakwa dimahkamah kerana gagal menghormati undang-undang negara iaitu undang-undang yang disediakan oleh kerajaan untuk menjamin keamanan dan keseselamatan rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Persoalannya apakah kumpulan yang mendakwa kerajaan menghadkan kebebasan rakyat bersuara benar-benar ikhlas dalam menengahkan pendirian mereka atau mempertopengkan dan menggunakan sesuatu institusi ikhtisas untuk memperjuangkan agenda politik  sesuatu kumpulan atau parti politik tertentu?

Sebelum mencari jawapan untuk permasalahan tersebut, adalah wajar kita meneliti matlamat  dan kepentingan Akta Hasutan 1948 yang dikuatkuasakan di Malaysia dan langkah-langkah  yang telah diambil oleh kerajaan kepimpinan YAB  Dato Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak, dalam meluaskan skop kebebasan rakyat bersuara agar  demokrasi matang dapat  dipelihara dan disuburkan di Malaysia.

Kebebasan bersuara,  berkumpul dan  mempernyatakan pendapat dalam bentuk lisan dan cetak adalah hak asas seseorang individu dalam sistem politik demokrasi tulin. Menyedari kebenaran ini, kerajaan umumkan Program Transformasi Politik (PTP) diumumkan   pada 16 September 2011 yang melibatkan  penggubalan, pindaan dan pemansuhan malah  pembatalan  beberapa undang-undang yang dianggap tidak relevan dengan peredaran zaman atau yang dianggap  sebagai  songsang oleh ahli-ahli politik, terutamanya masyarakat sivil yang mengharapkan pembaharuan dalam bidang perundangan agar sura rakyat dapat diluaskan.

Sehubungan ini, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang kian di cemuh oleh kumpulan  yang memperjuangkan dan dipengaruh oleh aliran Hak Asasi Manusia,  dimansuhkan dan digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. 

Selain itu, beberapa undang-undang seperti Akta  Kediaman Terhad dan Akta Buang Negeri juga dibatalkan. Akta untuk membenarkan dan memudahkan orang ramai berkumpul untuk mempernyatakan sesuatu pandangan atau hasrat kepada kerajaan  juga digubal dan diluluskan. Kebebasan untuk cetak dan menerbit bahan-bahan cetak  dalam menyebarkan fahaman sesuatu ideologi atau pendapat di perluaskan dengan membuat pindaan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.  Akta Universiti dan Kolej Universiti  yang didakwa mengkongkong kebebasan pelajar-pelajar Universti dan Kolej dipinda dalam menjamin kebebasan kepada pelajar-pelajar institusi tinggi bergerak, menyertai politik didalam dan diluar kampus dalam menunaskan bakal pemimpin-pemimpin negara.

Perlu ditegaskan bahawa Program Transformasi politik dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan ruang demokratik diperluaskan untuk melayan dan menampung perbezaan pendapat serta persaingan idea dalam era globalisasi yang kian menuntut kebebasan individu ke tahap yang lebih tinggi.  Pelaksanaan program tersebut jelas menunjukkan kerajaan dewasa ini     berhasrat untuk  mencipta sebuah negara  dimana prinsip-prinsip  hak asasi manusia dijunjung sambil kepentingan individu dan komuniti diimbangi.

Kepimpinan kerajaan  merasa  Malaysia telah memasuki era demokrasi yang lebih matang dimana peranan kerajaan berubah daripada menjadi penentu dan pengukur  tahap kematangan  rakyat kepada pelindung  kebebasan rakyat agar rakyat  dapat menikmati hak-hak asasi yang sepatutnya. Walaupun ISA telah banyak membantu memastikan demokrasi dan hak asasi manusia dilindungi,  kerajaan berpendapat  masanya  telah tiba untuk beralih dari zaman ISA kepada satu perundangan yang lebih progresif dan kini  keselamatan negara adalah terletak atas  kematangan  politik rakyat.

Berteraskan fahaman ini, kerajaan telah menggubal undang-undang Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012  untuk terus menjamin keselamatan dan keamanan rakyat Malaysia. Kerajaan tidak menggubal undang-undang tersebut dengan sewenang-wenangnya tetapi berlandaskan kepada kuasa yang ditetapkan dalam Perlembagaan Malaysia. Perkara 149 (1)  Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk  membuat undang-undang bagi  menangani ancaman  yang dilakukan  oleh seorang individu atau sesuatu kumpulan seperti berikut:  

(a) Menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau menyebabkan sebilangan besar warga Negara takut akan kekerasan itu
(b) Membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang di Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan
(c) Mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk
(d) Mengubah dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah , apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang
(e) Mendatangkan mudarat kepada penyelenggaran atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang ramai atau mana-mana golongan orang ramai dalam Persekutuan
(f)    Mendatangkan mudarat kepada ketenteramaan awam dalam atau keselamatan Persekutan atau mana-mana bahagianya.

Namun ada pihak yang mengelirukan rakyat malah mengeluh bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bertentangan dengan hal-hal yang berkaitan dengan kebebasan seorang individu seperti terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak bercanggah  dengan kebebasan seseorang individu seperti  termaktub dalam Perlembagaan terutamanya dalam Perkara 5 (kebebasan diri) Perkara 9 (kebebasan bergerak) , Perkara 10 (Kebebasan bercakap,berhimpun dan menubuh persatuan)  dan Perkara 13 ( Hak terhadap harta).

Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012 didapati  memperluaskan lagi kebebasan seseorang individu kerana tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan semata-mata atas kepercayaan politik atau aktiviti politiknya. Kuasa Menteri Dalam Negeri untuk menahan tanpa perbicaraan mana-mana individu yang terkandung dalam ISA  dimansuhkan. Polis pula hanya diberi kuasa menahan seseorang  tidak melebihi  daripada 28 hari untuk maksud penyiasatan. Selain itu, Akta tersebut juga  membenarkan orang yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan. Perkara-perkara yang terkandung dalam SOSMA jelas dilihat memperluaskan hak kebebasan seorang individu bersuara dan berpolitik di Malaysia.

Kebanyakan negara-negara dalam persada dunia yang dianggap  sebagai peneraju dan pelindung demokrasi berparlimen dewasa ini didapati mengetatkan undang-undang dalam negara mereka  masing-masing untuk mempastikan keselamatan negara mereka. Sebagai contoh: Amerika Syarikat melaksanakan Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002, Australia melaksanakan  Terrorism Act 2005, negara jiran kita Singapura yang selalui dicontohi oleh setengah pihak sebagai negara mengamal kebebasan rakyat bersuara melaksana Internal Security Act, United Kingdomm melaksana Terrorism Act 2000, Sri Lanka melaksana Prevention of terrorism Act 1982, Ghana melaksanakan Preventive Detention Act 1958 dan Brunei melaksana Internal Security Act.

Walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai pembaharuan dalam bidang undang-undang untuk meluaskan kebebasan rakyat bersuara, ada pula pihak yang mendakwa kerajaan kini menggunakan Akta Hasutan 1948 dalam melenyapkan suara yang menentang kerajaan. Ada akhbar tempatan yang menyiar berita bahawa Perdana Menteri Mohd.Najib Tun Abdul Razak merasa gentar menghadapi kritikan daripada rakyat dan dengan itu cuba menggunakan Akta Hasutan 1948 untuk senyapkan suara  lantang yang mengkritik kerajaan  kepimpinan beliau . 

Apakah kumpulan yang mendakwa kononnya Najib Tun Razak tidak berani bersemuka dengan kumpulan yang mengkritik kepimpinan beliau menghidap penyakit myopic atau rabun jauh?  Apakah kumpulan ini  tidak  melihat betapa berani dan hebatnya Najib dalam merunding secara terus menerus dengan Alexander Borodai,  ketua kumpulan pemberontak yang menguasai lokasi  MAS
MH17  yang terhempas di Ukraine, untuk  mendapat kerjasama beliau  agar  pasukan penyelamat dan penyiasat Malaysia dan antarabangsa dapat akses ke lokasi  MH17 terhempas,  membawa balik ke Malaysia jenazah  krew dan penumpang yang menjadi mangsa dalam trajedi  MH17 malah berjaya memujuk kumpulan pemberontak menyerahkan  kotak hitam penerbangan MH17 kepada  Malaysia  untuk membantu dalam siasatan   punca nahas  MH17.  

Tidak dapat dinafikan sistem politik demokrasi memberi hak kepada rakyat bersuara. Kesuburan system demokrasi memerlukan penyertaan rakyat dalam memilih pemimpin atau wakil-wakil mereka melalui proses pilihan raya. Rakyat bukan sahaja berhak menyuarakan pendapat mereka malah menyatakan pendirian mereka secara terbuka  terhadap sesuatu dasar yang di umumkan oleh kerajaan atau sebelum sesuatan dasar di umumkan. Rakyat juga diberi kebebasan untuk memberi pandangan semasa sesuatu dasar berada dalam peringkat penggubalan. Perbincangan dan perdebatan mengenai sesuatu dasar kerajaan sebelum dilaksanakan atau di kuatkuasakan adalah asas  atau sine qua non  perjalannan sebuah sistem politik yang berlandaskan  kepada falsafah politik demokrasi.

Rakyat di benarkan  menyuarakan pendapat mereka dalam mencari kebenaran. Tetapi terdapat juga kumpulan dan golongan yang sering menyalahgunakan  hak atau kebebasan yang  dinobatkan  kepada rakyat oleh perlembagaan sesebuah negara. Menyedari lumrah manusia untuk menyalahgunakan  kelonggaran  yang terdapat dalam undang-undang yang disediakan untuk mengawal tingkahlaku warga sesebuah negara,  kerajaan yang mementingkan keamanan, keselamatan, moral dan hubungan  antara rakyat  secara amnya dan hubungan antara berbilang kaum dan agama, sediakan undang-undang khusus untuk menghadkan kebebasan rakyat mengeluarkan pendapat yang boleh menimbulkan keresahan, permusuhan malah  anarki  dalam sesebuah masyarakat dan negara.

DiMalaysia, rakyat diberi peluang yang luas untuk bersuara atau mengeluarkan  pendapat mereka dengan bebas.  Nilai masyarakat Malaysia adalah berasaskan kepada kebebasan dan bertanggungjawapan. Malaysia lebih mementingkan keharmonian  antara kaum berteraskan sejarah politik negara.  Rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama diharapkan menghormati perkara-perkara yang  telah dipersetujui bersama. Sebahagian besar rakyat Malaysia percaya dan yakin demokrasi  tulin memerlukan amalan  budaya  rakyat  memahami dan bergerak dalam  ruang sempadan kebebasan yang digariskan oleh Perlembagaan Malaysia  dan Undang-Undang yang diluluskan oleh Parlimen. Parlimen berkuasa mententukan kebebasan seseorang demi kepentingan rakyat umum.

Akta Hasutan 1948 dikuatkuasakan bukan untuk merencatkan kebebasan bersuara tetapi untuk menjamin tidak sesiapa menyentuh perkara-perkara yang sensitif yang boleh menimbulkan tegangan dan permusuhan antara kaum di Malaysia. Namun, baru-baru ini rakyat Malaysia menyaksikan ada pihak yang melanggar Akta Hasutan 1948  terutamanya Seksyen  (4) (1)(b) and Seksyen  4(1)c), Akta Hasutan 1948.  Ada pihak yang menyoal institusi Raja-Raja dan adapula pihak yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menyemai benih  pemikiran dikalangan rakyat Sabah untuk memisah daripada Malaysia.

Sehubungan ini, rakyat Malaysia perlu sedar apakah maksud dan tafsiran ‘hasutan’ yang disebut dalam Akta Hasutan 1948 agar tidak ada pihak yang cuba  mengelirukan rakyat yang kurang arif  dalam hal-hal perundangan?  
Menurut Seksyen 3(1) (a) hingga Seksyen 3 (1) (f) Akta Hasutan 1948, hasutan adalah dirujuk kepada ‘kecenderungan’ menghasut meliputi pelbagai keadaan termasuk membangkitkan perasaan benci terhadap mana-mana Raja atau Kerajaan, pentadbiran keadilan,menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan rakyat,membangkitkan permusuhan antara kaum.
Manakala Seksyen 4 (1) (c) pula memperuntukkan kesalahan mencetak,menjual ,mengedar,atau mengeluarulang apa-apa penerbitan yang mengandungi bahan berunsur hasutan.
Namun, ada pihak yang mendakwa Akta Hasutan 1948 rencatkan hak bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan malah bertentangan dengan semangat dan roh Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan Persekutuan dikatakan memberi kebebasan kepada rakyat Malaysia mengeluarkan pendapat atau buah fikiran.

Perkara  10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kebebasan bersuara. Namun Perkara  10 ( 1) ( a ) hendaklah ditafsir bersamaan dengan lain-lain perkara dalam Perlembagaan yang menghadkan kebebasan tersebut.
Perkara 10(2) (a)  Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan had atau sekatan ke atas kebebasan bersuara  jika ia diperlukan atau mustahak untuk melindungi tujuh perkara seperti berikut:
1.      Kepentingankeselamatan negara
2.      Perhubungan kerajaan dengan negara-negara lain
3.      Ketenteraman awam
4.       Melindungi keistimewaan Parlimen/Dewan Undangan Negeri
5.      Penghinaan terhadap mahkamah
6.      Fitnah
7.      Perbuatan mengapi-apikan supaya melakukan kesalahan

    Dengan ini jelas bahawa kebebasan bersuara bukanlah satu hak atau kebebasan yang mutlak. Lebih-lebih lagi, Malaysia selaku sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum,agama dan budaya tidak mampu membenarkan sesiapa mengeluarkan kenyataan, pendapat, pandangan atau buah fikiran dengan  bebas  kerana bimbang ianya akan mempunyai elemen menghasut yang boleh menimbulkan permusuhan dikalangan masyarakat berbilang bangsa malah menggugat keamanan negara yang terbina sejak negara mencapai merdeka.Kesimpulannya rakyat Malaysia bebas untuk bergerak, berkumpul  dan bersuara dengan bertanggunjawapan. Rakyat Malaysia harus elak suara yang bersifat kekerasan, ekstrem dan berat sebelah. Disebaliknya lebih utamakan suara yang bersifat jalan tengah,keseimbangan dan kebijaksanaan. Rakyat yang menyokong suara sederhana perlu bangkit untuk menenggelamkam suara lantang yang dibangkitkan oleh sesuatu kumpulan kecil dalam masyarakt yang cuba membelakangkan kepentingan majoriti rakyat Malaysia. Perlu ditegaskan bahawa kebebasan beruara bukan bermakna  seseorang warga berhak menghina dan membangkit perkara-perkara yang boleh mempecahbelakan masyarakat berbilang kaum. Undang-undang perlu dikuatkuasakan dalam menjamin keseimbangan terbaik diantara kebebasan bersuara selaras dengan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekjutuan dan kompleksiti kemajmukan rakyat Malaysia agar perpaduan antara kaum, harmoni antara berbilang dan stabiliti politik sentiasa terjamin. 

No comments: