Wednesday, September 24, 2014

REFERENDUM SABAH & SARAWAK ADALAH BERMOTIF POLITIK

Kita kini dilaporkan ada pihak yang cuba  menghasut rakyat Sabah dan Sarawak keluar daripada Persekutuan Malaysia malah mengadakan referendum untuk mengetahui sama ada rakyat Sabah dan Sarawak ingin keluar daripada Persekutuan Malaysia.  Adalah wajar kita  mengimbas  kembali sejarah pembentukan Malaysia sebelum membincang hal-hal  yang berkaitan dengan isu ini.
Menurut Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak  adalah merupakan negeri-negeri  yang sah dalam Persekutuan dan dengan itu tidak boleh keluar dari Persekutuan . Malah  langkah memisah Sabah daripada Malaysia adalah bertentangan  dengan  Perkara 7 dalam senarai  Perjanjian 20  perkara yang menjadi asas pembentukan Malaysia.

Kumpulan yang mendakwa bahawa  Semenanjung Malaysia (Malaya) telah menakluki Sabah dan Sarawak  perlu megimbas kembali  senario  geo-politik paska Perang Dunia kedua dan  perkembangan politik seterusnya yang    mendorong  rakyat  Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) ,Sabah dan Sarawak bersetuju untuk   bersama  -sama  membentuk  Malaysia berteraskan konsep federalisme.
 
Tamatnya Perang Dunia Kedua, Empayar British yang menguasai Singapura, Brunei , Borneo Utara dan Sarawak bercadang untuk lakukan sesuatu  dalam  menentukan hala tuju masa depan negeri-negeri tersebut. Pegawai-Pegawai British yang pernah berkhidmat di Sabah dan Sarawak mengeluarkan kenyataan bahawa keunduran kuasa British dari rantau ini  akan mendedahkan Sabah dan Sarawak kepada ancaman dari Cina, Indonesia dan Filipina malah akan menjadi mangsa kepada ideologi komunisme yang sebar luas  ketika itu. Seorang pentadbir British pernah menyatakan bahawa “If the British moved out, it was likely that both North Borneo and Sarawak would not survive as viable states on their own and the political vacuum would inevitably invite intervention for these neighbouring powers”.

Dengan laterbelakang geo-politik inilah Tunku Abdul Rahman pada  27 Mei 1961, selaku Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ,membayangkan bahawa ada kemungkinan  besar Persekutuan Tanah Melayu,  Singapura, Brunei , Borneo Utara dan Sarawak  akan bersatu dalam satu Gagasan yang lebih besar untuk menjamin keselamatan dan pembangunan ekonomi  rantau ini.

Pihak British, yang menjajah negeri-negeri  seperti Singapura , Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak sambut baik   ide Tunku dan seterusnya  bersetuju menubuhkan  Suruhanjaya Cobbold pada 16.1.1962 , yang diketuai oleh bekas Gabenor Bank England, Lord Cobbold, untuk  mengkaji  pendapat awam  rakyat Sabah dan Sarawak  mengenai sama ada  rakyat di kedua-dua negeri tersebut bersetuju atau tidak untuk  bersama Persekutuan Tanah Melayu menubuhkan Malaysia. 

Suruhanjaya Cobbold dilaporkan bertemu  hampir 4,000 orang rakyat Sabah dan Sarawak secara langsung dan menerima   2,200 surat dan memorandum  daripada parti-parti politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin-pemimpin  kaum, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai .  Hasil kajian menunjukkan hampir  80% penduduk Sabah dan Sarawak  bersetuju dan menyokong  cadangan untuk bersama  Persekutuan Tanah Melayu menubuh Malaysia.

Namun, pemimpin-pemimpin yang mewakili  rakyat Sabah dan Sarawak mencadang agar Kerajaan Persekutuan Malaysia  yang bakal ditubuhkan  perlu mengambil kira  hak dan kepentingan-kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak, terutamanya kaum pribumi Sabah dan Sarawak  dalam merangka Perlembagaan yang akan menjadi asas dan teras pembentukan Malaysia.  Maka dengan itu,  Suruhanjaya Cobbold yang dipertanggungjawabkan oleh British terhadap  pembentukan Malaysia engesyorkan  agar  Perlembagaan Persekjutuan Tanah Melayu yang disediakan pada tahun 1957 dijadikan sebagai asas bagi membentuk Perlembagaan Malaysia   dengan beberapa pindaan dan memasukkan beberapa perkara yang melibatkan kepentingan  rakyat negeri Sabah dan Sarawak.                                                    .

Cadangan Suruhanjaya Cobbold diatas diterima baik oleh pemimpin-pemimpin yang mewakili rakyat Sabah dan Sarawak dan dengan itu mereka bersetuju menyediakan  satu laporan khas yang mengandungi  beberapa  tuntutan untuk  dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia agar kepen tingan rakyat Sabah dan Sarawak terjamin.  Beberapa kumpulan yang  mewakili rakyat Sabah dan Sarawak , termasuk  parti-parti politik seperti USNO, UNKO United Party, Demokratik Parti dan United Pasok Momogun Organisation telah menyediakan beberapa memorandam  dan sebahagian besar tuntutannya  berkisar  kepada hal-hal kebebasan ugama, Bahasa,  migrasi dan lain-lain kepentingan khas kaum pribumi Sabah dan Sarawak.
Sehubungan ini, Sabah menyediakan  20 usul dan  Sarawak pula menyediakan  18 usul untuk dipertimbangkan oleh satu Jawatankuasa antara Kerajaan atau  Inter Governmental Committee atau Lansdowne Committee,1963 ( IGC) yang ditubuh khas untuk mengkaji usul-usul daripada  negeri Sabah dan Sarawk.  Usul –usul tersebut dengan jelas menyatakan rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju  bersama  dengan Persekutuan Tanah Melayu dalam membentuk  sebuah negara  yang dirujuk sebagai ‘Malaysia’. Usul-usul rakyat Sabah dan Sarawak kini dirujuk sebagai Tuntutan 20 Perkara bagi Sabah dan 18 Perkara bagi Sarawak. Dengan penerimaan dan persetujuan tuntutan rakyat Sabah dan Sarawak, maka terbentuklah Persekutuan  Malaysia  pada 16  September 1963.

Perlu ditegaskan bahawa Malaysia ditubuhkan berdasarkan kepada sistem pentadbiran federalism. Umumnya, ‘Federalisme’ membawa maksud  beberapa negeri bergabung dibawah sebuah kerajaan pusat. Federalisme membawa pengertian bahawa beberapa negeri yang berautonomi bersatu dibawah sebuah kerajaan pusat dan kuasa pentadbiranya berdasarkan kepada  satu Perlembagaan.  Jadi, Malaysia ditubuhkan sebagai sebuah negera yang bertunjangkan prinsip federalisme dimana ahli-ahlinya dapat mengekalkan  jati diri, identiti dan autonomi  kerajaan negeri masing-masing. 

Sebahagian besar perkara-perkara  yang terkandung dalam  perjanjian 20 perkara telahpun dimasukkan atau diterapkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebahagian nya sedang dilaksanakan  oleh kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri masing-masing mengikut kemampuannya.  Hak dan kuasa Negeri Sabah dan Sarawak juga didapati  dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan agar menjadi asas pentadbiran kerajaan Persekutuan Malaysia.

Salah satu tuntutan yang penting yang menjadi asas untuk rakyat Sabah dan Sarawak bersetuju membentuk Malaysia adalah tuntutan menjamin hak istimewa kaum pribumi Sabah dan Sarawak. Tuntutan penting ini  didapati  termaktub dalam Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan.  Perkara 153(1) menyebut “Menjadi tanggung jawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana Negeri Sabah dan Sarawak”. Dengan ini jelas bahawa hak kaum pribumi Sabah dan Sarawak terjamin dalam Perlembagaan. Pada masa yang sama, lain-lain tuntutan dan harapan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai hak dan kuasa negeri pula dimasukkan dalam beberapa Perkara, Bahagian dan Jadual dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Perkara 110 dan Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan membenarkan  negeri  Sabah dan Sarawak kutip hasil  untuk negeri . Perkara 112 B, 112 C,112 D ,Jadual  10, PT.V  meletakkan Sabah dan Sarawak dalam  satu kedudukan istimewa  dalam konteks dasar  fiscal  (kewangan) . Sabah dan Sarawak, tidak seperti lain-lain negeri dalam Persekutuan Malaysia,  dibenarkan  kutip  hasil untuk khazanah negeri masing-masing  seperti hasi  Impot and excise duty  atas prodak  petroleum, hasil  hutan dan kayu balak dan  hasil daripada pelabuhan  dan beberapa prodak sumber asli.  Pada  keseluruhannya,  Perlembagaan Persekutuan Malaysia didapati tidak abaikan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh rakyat Sabah dan Sarawak semasa Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Dalam pada itu, rakyat Sarawak didapati amat puas hati dengan pelaksanaan tuntutan –tuntutan mereka. Disebaliknya, terdapat beberapa kumpulan di Sabah melontarkan pelbagai dakwaan bahawa kerajaan pusat abaikan 20 perkara yang dikemukakan oleh rakyat Sabah sebagai syarat untuk   bersama Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia. Apabila kita meneliti Perlembagaan Persekutuan, didapati roh dan semangat 20 Perkara  menyerlah dalam pelbagai Perkara, Bahagian dan Jadual dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Tuntutan 20 Perkara rakyat Sabah adalah seperti berikut:

PERJANJIAN DUA PULUH (20) PERKARA :

Perkara 1:  Agama

Tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia.
Perkara 2: Bahasa
Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan.
Perkara 3: Perlembagaan
Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia,
Perkara 4: Ketua Persekutuan
Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.
Perkara 5: Nama Persekutuan
"Malaysia"
Perkara 6: Imigresen
Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.
Perkara 7: Hak Menarik Diri
Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.
Perkara 8: Borneonisasi
Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.
Perkara 9: Pegawai-pegawai British
Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti dengan orang  tempatan yang berkelayakan.
Perkara 10: Kewarganegaraan
Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan :
Perkara 11: Cukai dan kewangan
Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan, dan cukai sendiri.
Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara
Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya,
Perkara 13: Kerajaan Negeri
Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.
Perkara 14: Jangkamasa Peralihan
Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.
Perkara 15: Pelajaran
Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.
Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan
Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. .
Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan
Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya.
Perkara 18: Nama Ketua Negeri
Perkara 19: Nama Negeri
Sabah.
Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain
Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara. Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

Sejak terbentuknya Malaysia, khususnya sejak Rancangan Malaysia ke dua dilancarkan pada tahun 1971, banyak program pembangunan telah dijalankan untuk meningkatkan kualiti hidup Rakyat  Sabah dan Sarawak.Tidak dapat dinafikan bahawa dalam masa lima puluh satu tahun yang lepas,  kualiti hidup rakyat Sabah dan Sarawak berjaya  dipertingkatkan ke tahap yang hampir sama dengan kualiti hidup rakyat di Semenanjung. Walaupun kedudukan demografi dan geografi Sabah dan Sarawak yang unik serta   rakyatnya tinggal bertabur berselerak di kawasan pendalaman menjadi satu cabaran kepada kerajaan dalam merancang pelan pembangunan, program-program pembangunan yang dilaksanakan dapat mengurangkan kadar  kemiskinan Sabah dan Sarawak. Kadar kemiskinan Sabah dapat diturunkan  daripada 70 % pada tahun 1970 kepada  paras  16 % pada tahun 2007 dan ke paras  8 .1 % pada tahun 2013. Kadar pengganguran pula dapat  diturunkan kepada  kadar 5.2 % (2013).

Dalam konteks pembangunan ekonominya,  KDNK atau GDP Sabah telah meningkat daripada RM 602  juta pada awal tertubuhnya Malaysia (1967) kepada RM 44.4 bilion pada tahun 2013  iaitu peningkatan hampir 74 kali ganda. Pendapatan Per Kapita Sabah telah meningkat daripada RM 1,770 pada tahun 1970 kepada RM 19,,010 (2013). Jumlah rakyat yang berkerja juga telah meningkat dari 38,000 ribu pada tahun 1970 kepada 1.5 juta pada tahun 2013.

Menurut kajian Bah. Analisa Cukai, Bah.Pengurusan Belanjawan, Kementerian Kewangan Malaysia, kerajaan pusat memberi peruntukan besar kepada negeri Sabah (RM 4.376 bilion) berbanding dengan negeri-negeri lain. Anggaran pembangunan  Sabah bagi tahun 2014   adalah RM 1200.3 juta. Daripada jumlah ini, kerajaan negeri sedia RM 838.43 juta (69.8 %) dan kerajaan pusat pula menyedia RM361.87 juta (30.2 %) .  Sumbangan kerajaan pusat secara langsung kepada  jabatan –jabatan kerajaan persekutuan di Sabah pula didapati  mencecah RM 1,047 juta bagi  tahun 2013.  Kerajaan pusat juga di kesan  memperuntukkan RM 2.049 bilion dalam bajet 2014 untuk menjalankan program pembangunan dan kesejahteraan rakyat  Sabah dan Sarawak. Aliran  peruntukan sejumlah besar seperti  ini kepada Sabah dijangka akan berterusan termasuk bayaran tunai sebanyak 5%  daripada nilai petroleum yang dijumpai dalam negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Berhubung dengan pembangunan sosial pula, Sabah diperuntukkan kuasa dan hak-hak tersendiri dalam Perlembagaan Persekutuan untuk membela dan melindungi kepentian rakyat Sabah terutamanya dalam memelihara adat resam, budaya  dan agama masyarakat Sabah. Sabah juga dibenarkan teruskan dengan mahkamah, undang-undang pribumi malah Mahkamah Persekutuan (Sivil)  yang berasingan daripada Mahkamah Persekutuan Malaya di Pusat. Perlantikan Ketua Hakim bagi Negeri Sabah dan Sarawak juga disyaratkan perlu dirunding dengan Ketua Menteri negeri masing-masing. 

Dengan demikian, rakyat Sabah tidak harus terpengaruh dengan slogan-sogan dan desakan –desakan yang mengesa Sabah keluar dari Persekutuan Malaysia atau terpengaruh dengan suara sumbang untuk adakan referendum. Dakyah mengesa  Sabah memisah daripada  Persekutuan Malaysia adalah satu tuntutan bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian 20 Perkara yang dipersetujui bersama untuk membentuk Malaysia.  


Rakyat Sabah perlu diingatkan agar jangan menggadai keselamatan, kemakmuran, kesejahteraan dan kualiti  hidup yang dinikmati sejak terbentuknya  Malaysia  untuk memenuhi agenda politik seseorang individu atau kumpulan yang lebih mementingkan kepentingan politik diri daripada kepentingan keseluruhan rakyat Sabah. Majoriti rakyat Sabah dan Sarawak  dengan nyatanya  menzahirkan rasa amat puas hati dan bershukur kerana dapat menganggotai Persekutuan Malaysia pada tahun 1963  kerana Sabah dan Sarawak kini dilimpah dengan pembangunan dan kemajuan yang amat memperangsangkan.

No comments: